Jika mengikut jadual, kejohanan Futsal AFF sepatutnya berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 31 Oktober sehingga 6 November depan.
Namun berikutan kemangkatan Raja Thailand, Raja Bhumibol Aduyadej, Thailand dalam suasana berkabung dan menghentikan segala bentuk hiburan dalam tempoh sebulan memaksa Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) terpaksa menukar venue ke Indonesia.
Notis saat akhir serta tiada persiapan rapi membuatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menolak permohonan AFF untuk menjadi tuan rumah Futsal AFF edisi ke 13, skrip sama juga berlaku apabila AFF mula meminta kerjasama Singapura pula untuk menjadi tuan rumah.
Di Malaysia, kita boleh dianggap bernasib baik. Ya penulis ulangi, bernasib baik.
Tidak dinafikan kita sudah giat persiapkan pasukan sejak dua bulan lalu, namun jika disoroti segala kemelut yang melanda senario futsal tempatan pasti ramai yang bersetuju dengan pendapat penulis.
Sejak dari awal tahun 2016 lagi, tiada liga dianjurkan di dalam negara. Segala dolak dalik dari FAM akhirnya memutuskan agar liga futsal kebangsaan terpaksa “ditunda” Januari tahun hadapan kerana ketiadaan penaja seperti tahun sebelumnya.
Kemudian timbul pula isu penukaran jurulatih apabila Marcelo Serpa tidak dilanjutkan kontrak oleh FAM. Tugas jurulatih disandang oleh seorang anak tempatan yang juga punyai kepakaran luas di pentas futsal antarabangsa, Chiew Chun Yong.
Chun Yong memulakan tugas dengan cabaran yang getir untuk membentuk satu pasukan bagi hadapi Futsal AFF. Tiada liga bermakna tidak ada banyak pilihan pemain. Pemain yang telah dipilih pula sudah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif, dan paling mengecewakan ada juga sebilangan pemain yang sudah naik berat badan dan tidak cergas.
Aduh!
Tidak cukup dengan itu, Chun Yong juga dilanda masalah untuk mengatur perlawanan persahabatan. Pelan asal Chun Yong adalah untuk mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Indonesia, namun PSSI seperti biasa menolak, kali ini dengan alasan Malaysia dan Indonesia adalah sekumpulan ketika bersaing di AFF nanti, jadi mereka tidak mahu Malaysia mengkaji keupayaan mereka lebih awal.
Apa yang dapat dilakukan adalah untuk mengaturkan siri perlawanan persahabatan dengan pasukan negeri dan kelab tempatan.
Daripada empat perlawanan persahabatan, Malaysia menang tiga perlawanan, 4-1 ke atas Melaka, 3-2 ke atas Perak, 8-2 ke atas UniKL dan seri menang sebuah kelab, MAC Shah Alam.
Namun kita harus pijak di bumi yang nyata, itu bukan tandingan Malaysia, tapi sekurang-kurangnya Chun Yong berpuas hati mereka sudah bina keyakinan dalam gelanggang dan kemahiran teknikal mereka sudah ada peningkatan.
Dan sedang mereka bersiap untuk menuju ke Bangkok hadapi AFF, mereka dikejutkan dengan berita sebegini, edisi Ke 13 Kejohanan Futsal AFF dibatalkan.
Aduh lagi !