Skip to main content

Rencana

Nabil hanya 3 saat di belakang Formula Satu!

28916nabiljefriecf06b093d81604aa734ff0000212b38.jpg
"Saya susah orang tak tahu, yang mereka nampak saya terbang ke sana-sini. Sekejap ke London, keesokannya ke Sepanyol, lusa ke Itali kemudian pulang ke Malaysia. Bulan depan terbang lagi."

Itu keluhan pelumba muda negara, Nabil Jefri yang saya temubual dalam segmen Kafe Xs di Radio Arena baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengakui dia kini perlu berjimat cermat sehinggakan kadang-kala terpaksa hanya menjamah makanan masakan sendiri demi kerjayanya sebagai pelumba yang menuntut perbelanjaan tinggi. Duit tajaan bernilai jutaan ringgit bukan untuknya berbelanja sesuka hati tetapi semuanya untuk pelbagai kos yang perlu dilunaskan.

Mengakui sukan permotoran khususnya lumba kereta memerlukan perbelanjaan sangat tinggi, Nabil tidak mahu pelaburan itu dipersia-siakan. Nyata perjuangannya sejak 2002 semakin menyerlahkan peluangnya untuk meneruskan apa yang dicapai Alex Yoong sebelum ini - beraksi di perlumbaan Formula 1.

Tetapi semakin dekat dengan impiannya semakin besar dugaan dan bebanan dipikul. Perbelanjaan yang semakin meningkat menuntutnya untuk memohon bantuan di sana sini. Pihak kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sedaya upaya membantu Nabil sejak 2002 iaitu ketika pelumba ini beraksi dalam kejuaraan go-kart.

Waktu menunggu hasil tuaian bukannya setahun dua tetapi 12 tahun selepas itu iaitu pada 2014 apabila Nabil berjaya naik podium sebanyak 16 kali dalam semusim di perlumbaan Formula 3 Jerman. Kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Formula 1 tahun lalu menyaksikan Nabil dipilih untuk beraksi di perlumbaan GP2, iaitu perlumbaan sokongan kepada Formula 1.

Tetapi kos untuk Nabil menyertai pasukan Arden International bukanlah sedikit. Maka menerusi beberapa rundingan dengan pihak penaja, Nabil akhirnya mengisi kokpit perlumbaan GP2 bersama pasukan Arden International bagi berlumba sepenuh musim.

Pencapaian terbaiknya setakat ini ialah menduduki tempat ke 7 dalam perlumbaan kedua di Litar Baku di Azerbaijan Jun lalu. Apa yang anda perlu tahu ialah perlumbaan GP2 ini hanyalah 3 saat di belakang Formula 1.

Justeru Nabil Jefri semakin menghampiri impian Malaysia untuk mengisi semula kokpit sukan termahal dunia ini yang ditinggalkan Alex Yoong 14 tahun lalu. Bukannya ikut pintu belakang, tetapi secara merit!   

Gambar: www.sepangcircuit.com
 

Advertisement

Must Watch Video