Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Mungkinkah kekhilafan ini teramat mahal harganya?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysiaa1206b083d81604aa734ff0000212b38.jpg
Cuba amati betul-betul foto ini.

Kata orang, sekeping foto bernilai seribu perkataan.

Harus juga foto ini mempunyai pelbagai yang tersirat selain yang sudah tersurat.

Pastinya sekeping foto yang ‘betul bendul’ seperti ini juga mampu memberikan pelbagai tanggapan – baik yang elok atau yang tidak elok.

Nah! Terserahlah kepada tafsiran masing-masing. 

Dalam mengamati foto ini buat kali pertama hampir sebulan lalu – perlawanan persahabatan New Caledonia menentang Malaysia dalam siri Jelajah Oceania pada22 Jun 2016 – saya banyak sekali mengelamun.

Ya, sesekali saya tersenyum sendirian walaupun tidaklah sampai ketawa terbahak-bahak.

Sepatutnya, foto ini sudah lama saya lupakan tetapi ia mengimbau ingatan saya atas dua sebab – pertama, ia kini menjadi bahan lawak antarabangsa dan kedua, persaraan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut dikaitkan dengan peristiwa dalam foto ini.

Dari satu sudut, saya terbayangkan perlawanan bola sepak di kampung saya sendiri yang harus menampilkan pegawai-pegawai perlawanan berpakaian serba hitam yang tentunya lebih baik daripada pertemuan New Caledonia-Malaysia ini.

Tersengih saya lagi dibuatnya mengagak-agak apa yang terlintas di fikiran kapten pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, ketika foto ini hendak dirakamkan. “Apa yang aku buat kat sini?,” mungkin itu yang terlintas di benak Aidil.

Senyum saya kian melebar apabila terkenangkan kenyataan berdegar-degar dua pegawai kanan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) – Timbalan Presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, dan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin – yang masing-masing bertegas bahawa itu adalah perlawanan antarabangsa kelas “A”. Tiada tapi… tapi… lagi.

Tidakkah pegawai badan induk bola sepak dunia, FIFA, akan ketawa sampai terbit air mata jika FAM menampilkan foto ini sebagai bukti untuk menyokong hujah bahawa ia memang perlawanan antarabangsa kelas “A” demi peningkatan setakuk dua ranking pasukan Malaysia?

Terbaru, majalah bola sepak antarabangsa, FourFour Two, edisi Ogos 2016, turut memuatkan satu coretan di bawah tajuk ‘The Top 10 Technical Boo-Boos’ (10 Terbaik Kesilapan Teknikal) dengan tajuk kecil ‘Apa yang berlaku di Noumea, kekal di Noumea’.

Coretannya antara lain menyebut: “Di sebalik meraih kemenangan 2-1 yang merangsangkan ke atas New Caledonia dalam satu perlawanan persahabatan baru-baru ini, ia tidak bermakna apa-apa kerana kesilapan teknikal. Awalnya disenaraikan sebagai perlawanan kelas ‘A’, status itu ditarik balik kerana negara kepulauan Oceania itu menugaskan dua pembantu pengadil yang tidak diiktiraf FIFA. Ia membuat FA Malaysia berang kerana ia mengakibatkan mereka kehilangan beberapa mata berharga dalam ranking FIFA.”

Kemudian, dalam kegemparan terbaru persaraan mengejut empat pemain JDT – Aidil, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal – harus foto ini mempunyai sesuatu yang tersirat.

Tunku Mahkota Johor selaku pemilik JDT mengutarakan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers pada 14 Julai lalu yang berbunyi: “Mereka melakukan ini kerana mereka sudah letih dengan panggilan yang tidak sepatutnya di mana mereka perlu menghabiskan masa berbulan-bulan di kem latihan dengan latihan yang tidak mencukupi dan tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.”

Elok jika FAM mengamati kembali foto dan bertanyakan diri sendiri, “Apa yang sudah kita lakukan?”

Jenakanya -- harus tidak silap – berbalik kepada mereka.

Advertisement

Must Watch Video