Skip to main content

Rencana

Mr. Penjaga Padang B. Sathianathan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

b-sathianathan-selangor.jpg
Bila sebut sahaja nama B. Sathianathan, apa yang bermain di pemikiran peminat bola sepak tentang jurulatih kelahiran Perak ini ialah karakter yang keras, sombong dan macam-macam lagi.

Penulis mula mengenali Sathia ketika masih belajar di UiTM. Pernah bertekak dengan Sathia ketika dia membimbing pasukan kebangsaan.

Dalam satu sidang media, tiba-tiba jadi panas dek soalan panas penulis kepadanya.

Namun, yang menarik, sejurus selepas sidang media berakhir, kami berdua pergi ke gerai berhampiran untuk sesi teh tarik.

Namun, kali ini penulis nak alihkan sedikit bukan tentang taktikal atau pun perkembangan pasukan bimbingan Sathia tetapi tentang sesuatu yang mungkin peminat sendiri tidak ketahui.

Seperti kita sedia maklum, apabila berbicara tentang kualiti padang, Sathia individu yang langsung tidak boleh bertolak-ansur.

Sathia pernah lahirkan kekecewaan kepada pihak pengurusan Stadium Shah Alam yang perlukan masa 40 hari untuk perbaiki kualiti padang.

Bekas jurulatih kebangsaan itu membalas dengan jawapan ini: "Saya boleh perbaiki padang dalam masa dua minggu. Jika tidak percaya, boleh bertanya kepada ATM ataupun Kelantan."

Semunya kerana Sathia tidak mahu pemain pemain mengalami kecederaan jika keadaan padang latihan tidak baik.

Untuk makluman semua, ketika membimbing Kelantan dan ATM, Sathia yang menguruskan sendiri kualiti padang untuk berada dalam kondisi yang baik.

Dia sendiri akan menggunakan mesin, baja dan apa sahaja keperluan bagi menjamin kualiti padang latihan berada dalam keadaan terbaik. Ia amalan yang diteruskannya bersama Selangor.

Penulis masih ingat ketika isteri penulis mengeluh tidak dapat menggunakan padang di TUDM Subang untuk sukan peringkat sekolah apabila permohonan untuk menyewanya ditolak.

Penulis bertanya siapa yang tolak, jawab isteri penulis, "Coach ATM."

Terkini, di padang latihan pasukan Selangor di SUK Shah Alam, penulis pergi sendiri untuk menyaksikan apa yang dilakukan Sathia.

Peminat sendiri boleh saksikan kehijauan padang dan juga infrastruktur baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Semua ini tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama FAS.

Penulis pernah bertanya dari mana belajar semua ini. Ini jawapannya. Sathia telah diarahkan oleh bekas Setiausaha Agung FAM, mendiang Datuk Paul Mony untuk menjaga padang di Wisma FAM.

Sathia mula berasa marah kenapa perlu jaga padang. Tetapi dia ambil itu sebagai cabaran dan mula belajar mengendalikan padang bersama salah seorang pegawai yang arif dalam aspek pengurusan padang bernama RS Maniam.

Di sini Sathia mula mengenali jenis rumput dan bagaimana untuk menjaga kualiti padang, ditambah dengan beberapa bahan bacaan.

Cerita ini mungkin biasa biasa tetapi penulis membuat kesimpulan mudah padang latihan yang baik akan memberikan motivasi yang tinggi buat pemain.

Untuk B. Sathianathan, terima kasih, terima kasih, terima kasih melayan budak estet ini bercerita tentang padang.

Jumpa lagi. 

Advertisement

Must Watch Video