Skip to main content

Rencana

Mourinho saja bikin panas lagi

asmawi-(4)-cover-pix.jpg
Bukanlah Jose Mourinho namanya kalau pengurus berbangsa Portugis itu tidak terus celupar.

Dengan Tottenham Hotspur kendaliannya dikerah berpuas hati menamatkan musim 2019/20 di tangga keenam, Mourinho memilih untuk cari pasal dengan bekas kelabnya, Manchester United.

Barangkali iri hati dengan United kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang berkedudukan lebih baik di tangga ketiga – berlawanan dengan ramalan ramai di tangga keenam atau ketujuh – dia menuding jari kepada tuah sepakan penalti yang banyak membantu pasukan yang memecatnya seminggu sebelum Krismas 2018 itu.

“Bruno (Fernandes) terbukti sebagai pengambil sepakan penalti yang hebat, salah seorang yang terbaik di dunia… dia mempunyai lebih kurang 20 (sepakan penalti) untuk disudahkan,” katanya menyindir.

United tidaklah mendapat sebanyak itu sebenarnya tapi pada pengamatan Mourinho, lebih banyak daripada pasukan-pasukan lain dan sesetengahnya boleh dipertikaikan.

Kebetulan pula United mengesahkan kesudahan dalam kelompok empat teratas selepas satu lagi sepakan penalti Fernandes dan jaringan Jesse Lingard dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-0 ke atas Leicester City di Stadium King Power, Ahad lalu.

Seperti dibawakan oleh akhbar Daily Mail, United menyerlahkan peningkatan sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tertangguh pada 13 Mac lalu gara-gara pandemik COVID-19, bersambung semula pada pertengahan Jun.

Mereka kekal tanpa kalah sepanjang sembilan perlawanan terakhir liga, dengan Fernandes antara pemain yang paling menonjol.

Fernandes, yang tiba di Old Trafford daripada Sporting C.P. dengan yuran perpindahan pertengahan musim sekitar £47 juta (RM258 juta), telah menjaringkan lapan gol di samping tujuh bantuan jaringan dalam hanya 14 penampilan bersama pasukan barunya itu.



Tidak terkecuali, Mourinho adalah antara yang memuji impak yang dibawa rakan senegaranya itu di awal ketibaannya pada Januari lalu.

“Bruno tiba dalam keadaan cergas, beraksi dengan sangat baik dan memperbaiki pasukan United,” katanya seperti dipetik akhbar Portugal, Record. “Dia juga terbukti sebagai pengambil sepakan penalti yang hebat, salah seorang yang terbaik di dunia, kerana dia memiliki lebih kurang 20 (sepakan penalti) untuk menjaringkan gol!,” katanya.

Sebetulnya Fernandes hanya menjaringkan enam sepakan penalti secara keseluruhan.

Dalam pada sepakan penalti di Stadium King Power, Ahad lalu itu tidak pun dipertikaikan, namun beberapa yang lain menimbulkan persoalan, termasuk satu yang diraih Fernandes selepas berlanggar dengan Ezri Konsa ketika United menundukkan Aston Villa 3-0 di Villa Park, 10 Julai lalu.

Tidak ketinggalan, Mourinho sendiri turut terkesan dengan dua sepakan penalti tatkala United terikat 1-1 dengan Spurs dalam perlawanan pertama selepas liga bersambung semula pada 20 Jun.

Sepakan penalti pertama itu dipersalahkan kepada Eric Dier kerana menarik Paul Pogba, disusuli yang kedua dalam masa pemberhentian, yang bagaimanapun diterbalikkan oleh video bantuan pengadil (VAR).



“Sepakan yang kedua itu menakjubkan bagi saya,” kata Mourinho selepas perlawanan. “Jika VAR turut digunakan untuk mengesan simulasi, pemain-pemain boleh diberi kad kuning. Fernandes datang dari negara yang amat saya kenali.”

Terdahulu bulan ini, Mourinho tidak dapat membendung dirinya daripada menyindir kerapnya United mendapat penalti.

Diminta membandingkan serangan United dengan Tottenham, pengurus Spurs itu mengungkapkan: “13 penalti United adalah satu bantuan. Ia satu bantuan!”

Kalau di Malaysia, The Red Devils barangkali sudah digelar Penchester United.

Advertisement

Must Watch Video