Skip to main content

Advertisement

Rencana

MIFA berputih mata

mifa-fc.jpg
Kekalahan MIFA kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri (0-3) telah memusnahkan harapan mereka untuk mencipta sejarah sendiri untuk layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia buat kali pertama. 

Kekalahan ini sudah pasti mengecewakan pengurusan dan ketua jurulatih MIFA, K. Devan, apatah lagi pemain-pemain mereka.

Mengungguli Kumpulan C dengan jumlah mata yang boleh dikatakan agak sukar terutama kepada Kelantan untuk memintas. Namun, segala-galanya musnah setelah Kelantan menumpaskan Kedah (2-0) di Kota Bahru pada perlawanan terakhirnya. 

Hanya dibezakan satu jaringan bolos melayakkan Kelantan ke saingan suku akhir.

Ini satu pengajaran yang berguna kepada pemain-pemain MIFA kerana pengalaman ini pasti akan mematangkan mereka. 

Dengan kelebihan bermain di laman sendiri walaupun sedang mengungguli carta kumpulan sebenarnya tidak lagi menjamin pasukan mereka. 

Apatah lagi pasukan yang mereka hadapi pada perlawanan terakhir itu merupakan pasukan yang rata-rata pemainnya berpengalaman di peringkat antarabangsa dan bijak mengawal dan meresap tekanan.

Memandangkan saingan Kumpulan C ini menyaksikan keempat-empat pasukan masih lagi berpeluang untuk ke suku akhir sehingga perlawanan terakhir, MIFA tidak boleh mengalami kekalahan, sebalik itu yang berlaku. 

Ini pernah penulis nyatakan di dalam program FORMASI sebelum perlawanan. 

Sekiranya pemain-pemain MIFA tidak berjaya mengawal dan meresap tekanan, sudah pasti ia akan mengundang duka kepada MIFA. 

Apa yang dinyatakan oleh penulis nyata berlaku kerana pemain-pemain MIFA yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk memburu kemenangan tidak mampu bertahan dengan asakan lawan yang lebih berpengalaman dan akhirnya MIFA berputih mata.
 

Advertisement

Must Watch Video