Skip to main content

Rencana

Mesti cabar lagi, El-Pescao

hafizh-syahrin.jpg
Selesainya Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu lalu, menyaksikan tamatnya kalendar MotoGP bagi musim ini.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menamatkan kedudukan keseluruhan di tangga ke-16 dengan 46 mata, hanya empat mata di belakang Franco Morbidelli yang dinobat Pelumba Baru Terbaik Tahunan (Rookie of the Year).

Ia satu pencapaian yang baik buat Hafizh yang turut digelar El-Pescao (si Ikan dalam bahasa Sepanyol) itu.

Dalam tempoh sebulan mengenali jentera MotoGP miliknya, dia berjaya mengutip dua mata dalam perlumbaan pertama selepas menamatkan perlumbaan pembuka musim di Qatar di  kedudukan ke-14.

Dua minggu selepas itu, dia sekali lagi mencipta sensasi dengan meraih tempat kesembilan dalam perlumbaan GP Argentina di Litar Termas de Rio Hondo.

Empat kedudukan 10 terbaik (GP Argentina, Jepun, Malaysia dan Valencia) dalam penyertaan pertamanya bagi kategori perdana MotoGP, sudah cukup untuk membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat tertinggi.

Paling diingati sudah pasti aksinya ketika perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.

Hafizh yang bermula di petak terakhir (23), menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

Satu perlumbaan yang penuh emosi buatnya selepas dilihat mengalirkan air mata sebelum dan selepas perlumbaan.

Secara keseluruhannya, ia masih musim yang baik buat pelumba pertama negara di arena itu.

Walaupun gagal menjadi Muka Baru Terbaik, Hafizh masih lagi kebanggaan buat negara.

Tahniah buat Hafizh di atas pencapaian yang diraihnya sepanjang musim ini.

Mesti cabar lagi bersama jentera KTM musim depan.
 

Advertisement

Must Watch Video