Skip to main content

Rencana

Melaka bangkitlah!

melaka-210417.png
Dari sebelum musim bermula, saya telah memberikan pandangan tentang perjuangan Melaka United dalam kancah Liga Super Malaysia 2017.

Saya menyatakan jika Melaka United berjaya kekal di Liga Super buat musim 2018, saya anggap adalah satu kejayaan.

Saya berkata demikian kerana pentas Liga Super tidak sama dengan pentas di Liga FAM dan Liga Perdana, di mana Melaka United begitu ceemerlang dengan keluar sebagai juara di Liga FAM dan seterusnya dalam musim pertama di Liga Perdana 2016, sekali lagi menjadi juara dan seterusnya melangkah ke Liga Super.

Liga Super adalah pentas serta suasana yang berbeza. Tahap kualiti pasukan dan pemain-pemain di tahap yang tertinggi. Tekanan juga begitu tinggi. 

Di atas kertas, pasukan yang dilihat boleh dikalahkan mungkin dua atau pun tiga pasukan sahaja. Selainnya, kita harus berada ditahap prestasi tertinggi pada hari perlawanan jika ingin mengutip sat atau pun tiga mata. Baik di tempat lawan mahu pun di Stadium Keramat Stadium Hang Jebat, Melaka. 

Saya pasti semua terutama rakyat Melaka dapat melihat pendekatan yang berbeza diambil sebelum musim bermula oleh Pengurusan Melaka United. 

Kami anak Melaka sememang teruja dengan perubahan pendekatan yang diambil dengan objektif memastikan Melaka United mempunyai kualiti pemain-pemain dan jurulatih dalam memberi saingan dalam Liga Super. 

Walaupun ada yang musykil tentang pendekatan ini, lebih-lebih lagi jurulatih Mat Zan Mat Aris yang membawa Melaka United dari Liga FAM ke Liga Super digugurkan. Tetapi, perubahan ini adalah untuk penambahbaikan sebenarnya untuk persiapan ke Liga Super.

Kita harus ingat dan faham, tidak ada satu formula pun yang boleh memastikan kejayaan. Tetapi, usaha kearah membina kejayaan itu harus ada yang telah pun ditunjukkan dan dilakukan oleh pihak pengurusan.

Saya berpandangan jauh, di mana dalam keadaan sekarang ini Melaka United belum lagi berada dalam keadaan terlalu tenat tetapi harus melakukan sesuatu mahu pun pendekatan bagi mengelak masalah lebih serius berlaku. 

Berkedudukan di tangga ketiga tercorot, hanya berada satu anak tangga sahaja dari zon penyingkiran telah mengakibatkan laman media sosial terutama penyokong-penyokong melepaskan geram terhadap Melaka United, termasuklah pengurusan terkena tempiasnya.

Selepas rehat sebulan, rata-rata penyokong mengharapkan sesuatu dapat dilakukan oleh Eric William dalam mengatasi kelemahan sebelum itu, tetapi kekalahan 7-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak dapat diterima oleh kebanyakkan penyokong.

Saya boleh bayangkan kecewanya penyokong terutama yang berada di Stadium Larkin yang berkorban masa dan wang ringgit hanya untuk memberikan sokongan kepada Melaka United. 

Jika tewas melawan saya pasti penyokong tidak akan menunjukkan reaksi yang sebegitu kerana mereka juga tahu JDT bukanlah pasukan sembarangan dan lebih-lebih lagi bermain di Stadium keramat mereka. Penyokong juga mempunyai maruah terutama berhadapan dengan penyokong pasukan lain khususnya dalam sosial sosial media. 

Mungkin senario ini yang tidak dapat diterima oleh mereka.

Saya juga pasti pemain berasa hampa dengan keputusan ini. Tetapi mereka harus sedar, jika mereka bermain sepenuh hati dan dengan disiplin yang tinggi mengikut taktikal yang diterapkan, mustahil Melaka akan tewas dengan jaringan yang besar. 

Saya pasti taktikal mereka adalah tidak bermain secara terbuka apabila berhadapan dengan pasukan sekuat JDT. 

Dengan khabar isu-isu hanya yang terpampang di dada akhbar, sebenarnya hanya memburukkan keadaan dalaman pasukan. Kalau boleh kurangkan bercakap, terus ambil pendekatan bagaimana untuk mengubah situasi tenat kepada situasi yang positif. Semua adalah tanggungjawab bersama baik daripada pemain, jurulatih dan pengurusan. 

Penyokong harus memberikan sokongan dan sedikit masa. 

Isu-isu seperti ada puak dalam pasukan juga adalah tanggungjawab jurulatih, pengurusan dan pemain-pemain untuk selesaikan. Ingat, hanya kamu sahaja yang boleh mengubah hala tuju ini. Sama ada kamu mahu atau tidak, itu sahaja.

Saya pasti mesej ketidakpuasan hati penyokong telah sampai kepada pasukan dan pihak pengurusan. Saya juga pasti mereka sedang merancang dan mencari jalan untuk cuba memperbetulkan keadaan. 

Seperti yang saya katakan perjalanan kita masih jauh. Belum lagi habis pusingan pertama. Banyak lagi mata yang boleh dikutip untuk memastikan kita terus bersaing dan juga untuk memastikan Melaka United kekal di Liga Super, musim hadapan.

Musim pertama di Liga Super sudah pasti memberikan pengalaman yang berharga buat Melaka United terus berjaya pada musim akan datang.

Kepada semua yang terlibat dengan pasukan Melaka United, hanya ada dua pilihan sahaja, tukar kepada mentaliti positif untuk terus cemerlang atau terus tenggelam sehingga diturunkan ke Liga Perdana pada musim 2018.

Sebagai rakyat Melaka, kami berharap perubahan positif dapat ditunjukkan bermula bermula dengan perlawanan bertemu PKNS di pusingan kedua nanti.

Selamat Bejuang! 

 

Advertisement

Must Watch Video