Skip to main content

Rencana

Mbappe: Kegemilangan PSG di kakinya

mbappe-cover-(1)_1.jpg
Pada usia semuda 21 tahun, Kylian Mbappe kini di ambang melengkapkan satu pencapaian gemilang dalam bola sepak.

Kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) layak ke final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali pertama dalam sejarah 50 tahun mereka untuk berdepan Bayern Munich di Estádio do Sport Lisboa e Benfica, Lisbon malam esok (3.00 pagi Isnin waktu Malaysia).

Juara Perancis itu mungkin bukan pilihan tetapi dengan gandingan Neymar bersama Mbappe, PSG memiliki keupayaan untuk menundukkan mana-mana pasukan pada hari terbaik mereka.

Sematang usia 28 tahun, ramai yang percaya Neymar telah mensia-siakan sebahagian besar potensi besarnya.

Benar dia telah memenangi kejuaraan liga bersama Barcelona dan PSG di samping Liga Juara-Juara ketika di Sepanyol tapi dia belum memenuhi potensi untuk bergelar pemain terbaik dunia hari ini – satu penghormatan yang masih dikongsi Cristiano Ronaldo, 35 tahun, dan Lionel Messi, 33 tahun.

Sambil sebahagian akan menghakimi Neymar belum pun mencapai keupayaan sebenar yang dimilikinya, ceritanya sama-sekali berbeza dengan Mbappe.

Seperti dipaparkan laman givemesport, pada usia 21 tahun, Mbappe hanya terpisah 90 minit dengan “melengkapkan” pencapaian dalam sukannya itu.

Mungkin itu tidak berapa tepat tapi tiada siapa harus menidakkan pencapaiannya setakat ini adalah luar biasa buat seorang anak muda sepertinya.

Mbappe telah memenangi empat kejuaraan Ligue 1 di dua kelab berbeza, juara Coupe de France dua kali, dua kejuaraan Coupe de la Ligue di samping pingat juara Piala Dunia.

Kini, dia dipisahkan 90 minit daripada menjulang trofi Liga Juara-Juara dan barangkali perlu sekali lagi diingatkan, dia berusia 21 tahun.

Mungkin apa yang diperlukannya ialah dinobatkan pemenang Ballon d’Or dan menang satu kejuaraan liga di luar Perancis untuk dia dijulang sebaris dengan yang terbaik.

Dalam 122 penampilan untuk PSG, Mbappe telah menyumbat 90 gol sebagai menepati kenapa kelab ibu kota Perancis itu harus membayar £166 juta (RM908 juta) untuk mendapatkan tandatangannya.




Malah, dia sudah pun dibandingkan dengan legenda Brazil, Ronaldo Nazario, bukan sekali tetapi dua kali, dengan yang terbaru oleh Rio Ferdinand.

“Dia pemain paling hampir untuk disamakan dengan Ronaldo,” kata Ferdinand kepada BT Sport malam Selasa lalu.

“Daripada segi impak yang dicetuskannya di pentas dunia sebagai seorang pemain muda, hanya Michael Owen yang setaraf dengannya,” tambahnya.

Mungkin pentas besar di Lisbon akan mengesahkan kedudukannya itu.


 

Advertisement

Must Watch Video