Skip to main content

Rencana

Mbappe hipokrit terhadap kemewahan?

mbapope.jpg
Kylian Mbappé baru-baru ini menarik perhatian ramai dengan kenyataan bahawa jumlah wang yang bertukar tangan dalam bola sepak sudah mencapai “tahap kelucahan melampau”.

Tapi, benarkah dia berpendirian begitu?

Kerana di sebalik kenyataannya, pemain yang baru berusia 19 itu dilaporkan menuntut AS$60 juta
(RM252 juta) dan hak menggunakan jet peribadi daripada kelabnya.

Alasannya ialah sudah sedemikian resminya dalam bola sepak dunia hari ini.

Hakikat sebenarnya ialah Mbappé menerima sejumlah wang yang luar biasa beraksi untuk kelab gergasi, Paris Saint-Germain (PSG), dalam Ligue 1 dan jika sudah sedemikian wang yang bertukar tangan dalam
bola sepak hari ini, dia juga tidak mampu untuk mengubahnya.

Mbappé, pemenang pingat juara Piala Dunia bersama Perancis, Julai lalu, telah melanjutkan prestasi
cemerlangnya dari musim panas lalu ke saingan Ligue 1 musim ini.

Dengan satu gol dijaringkan atau diciptanya setiap 46 minit, Mbappé ketika ini diangkat selaku pemain
kedua terbaik dalam liga domestik Perancis dan turut menepati reputasinya selaku pemain paling
bernilai di planet ini.

Ia harus menjadi antara sebab PSG membayar AS$200 juta (RM840 juta) kepada AS Monaco sebagai
yuran perpindahan penyerang muda itu tahun lalu.

Ia satu jumlah yang sangat besar tapi Der Spiegel dan Football Leaks mendedahkan baru-baru ini
bahawa PSG turut menafikan Mbappé beberapa tuntutannya.

Majalah sukan mingguan Jerman itu melaporkan Mbappé menuntut kontrak bernilai AS$60 juta (RM840
juta), yang sedia dipenuhi PSG, tapi pada masa yang sama menolak permintaannya untuk menggunakan
jet peribadi di atas pembiayaan kelab itu.

Sejak itulah, Mbappé membuat pengakuan bahawa wang yang bertukar tangan dalam bola sepak sudah
keterlaluan.

“Ia benar-benar tidak senonoh pada saya yang datang dari sebuah keluarga sederhana,” katanya kepada
saluran televisyen Switzerland, RTS. “Memang benar ia keterlaluan tapi pasarannya sudah seperti itu.”

“Dunia bola sepak berjalan seperti itu dan saya tidak akan merevolusikan bola sepak. Saya adalah
sebahagian daripada sistemnya. Anda harus tahu bagaimana untuk menghormatinya dan kekal di
tempat anda.”

Di sebalik Mbappé meraih habuan lumayan, namun dia kekal seorang yang dermawan.

Bonus AS$500,000 (RM2.1 juta) yang diterimanya daripada kejayaan Perancis menjuarai Piala Dunia,
semuanya didermakannya kepada sebuah pertubuhan kebajikan yang menawarkan peluang bersukan
buat kanak-kanak yang dirawat di hospital atau memiliki kelainan upaya.

Bermewah – kerana bola sepak dunia menawarkannya -- tapi Mbappé bukan seorang yang lupa diri.

Advertisement

Must Watch Video