Skip to main content

Rencana

Mbappe: Daripada tiada sesiapa kepada pemain rebutan utama (bhg 2)

l-equipe-280717.jpg
Sambil dunia bola sepak berkira-kira untuk menyaksikan perpindahan Kylian Mbappe tercatat sebagai rekod baru dunia dalam yuran perpindahan, apakah yang membuat anak muda ini sebegitu istimewa?

Akhbar Daily Mail berkongsi pandangan pakar analitik, Rory Campbell, yang memaparkan satu set perangkaan yang membuat peminat bola sepak teruja dengannya.

Yuran £160 juta (RM896 juta) yang dilaporkan sebelumnya – terbaru AS Monaco dikhabarkan menuntut sehingga £180 juta (RM1.08 bilion) – harus menggamamkan ramai.

Lagipun, ini hanyalah seorang pemain yang baru membuat 19 penampilan dalam liga.

Maka, apakah yang dilihat kelab-kelab besar padanya hingga meyakinkan mereka semua bahawa dia luar biasa? Apakah yang membezakan dia hinggakan semua kelab berkenaan berasa begitu pasti potensinya tiada tandingan?




Marilah kita bermula dengan angka-angka.

Mbappe membuat penampilan sulungnya untuk Monaco pada Disember 2015 dan menjaringkan gol senior pertamanya ketika menentang Troyes pada Februari tahun lalu di samping membarisi kesebelasan utama ketika menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) di tempat lawan pada bulan berikutnya.

Tetapi Mbappe jarang menjadi tumpuan dunia musim lalu. Sebagai sebahagian pasukan muda Monaco yang menarik, dia menambat perhatian dalam Liga Juara-Juara, dengan menyumbat gol di tempat sendiri dan tempat lawan ketika berdepan kedua-dua Manchester City dan Borussia Dortmund untuk menjadi pemain pertama dalam sejarah yang membuat jaringan dalam kesemua empat penampilan pertamanya di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara. 

Di peringkat domestik, ada trofi yang dimenangi, dengan Mbappe membuat sumbangan besar dalam kejayaan Monaco menjuarai Ligue 1.

Dia menyumbat 15 gol, kedua hanya di belakang penyerang senior, Radamel Falcao. Lebih daripada itu, Mbappe mencapai perangkaan berkenaan di sebalik penampilan yang jarang-jarang pada peringkat awal kempennya.

Kesemua 15 golnya didatangkannya dalam tempoh 1,501 minit – waktu bermain yang kurang daripada mana-mana pemain di Perancis untuk mencapai angka berganda.

Apabila diambil kira lapan bantuan jaringan daripadanya, maka sumbangan Mbappe lebih terserlah – ringkasnya dia terbabit secara langsung dengan satu gol liga pada setiap 65 minit.

Pengarah C&N Sporting Risk, Rory Campbell, yang juga seorang pakar analitik yang pernah bekerja dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris, percaya bahawa angka-angka Mbappe membayangkan dia adalah satu bakat yang unik.

“Daripada segi gol yang dijangkakan – satu statistik yang memberi bayangan terhadap berapa banyak gol seseorang pemain atau sesebuah pasukan harus jaringkan secara purata berdasarkan jumlah peluang yang dimiliki – apa yang dihasilkan oleh Mbappe sudah pun berkelas dunia.

“Kita melihat Mbappe menjaringkan 0.8 gol bagi setiap 90 minit, yang mana lebih tinggi daripada mana-mana pemain lain di Eropah,” Campbell memberitahu Sky Sports.

“Semua nama besar ada di sana, dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berada dalam kelompok enam teratas. Tapi daripada semua mereka, pemain berusia 18 tahun ini yang menduduki tangga teratas,” tambahnya.

Seperkara yang penting, sebarang ikhtiar mendapatkan Mbappe adalah berkaitan dengan potensinya.

“Dia banyak menunjukkan kemajuan,” kata pengurus Monaco, Leonardo Jardim. “Dia bekerja dengan baik, dia semakin menunjukkan kemajuan dan memahami peranannya di dalam perlawanan. Saya fikir dia akan terus meningkat ke tahap yang sangat tinggi.” 

“Dia memiliki personaliti,” kata pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, pula.

“Apa yang menjadikan dia seorang pemain yang kuat di samping keupayaannya ialah dia sentiasa kekal tenang,” ujar pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps.

“Itu sangat jarang ditemui pada seorang pemain semuda usianya. Thierry Henry sangat matang ketika dia seorang pemain muda tapi saya fikir Kylian juga seorang pemain yang matang di sebalik usianya.”

Seorang pemain berusia 18 tahun yang mengatasi semua pemain lain ketika ini harus dijangkakan menjadi seorang pemain elit untuk tempoh lebih sedekad yang akan datang.

Barangkali kerana itulah, Mbappe dianggap luar biasa.

(BERSAMBUNG)

Kredit imej: L'Équipe



 

Advertisement

Must Watch Video