Skip to main content

Rencana

Mata tiada pengganti

mata-one-more-goal-should-send-us-to-wembley.jpg
Pada hari ini, tiga tahun lepas, 25 Januari 2014, peminat digemparkan dengan berita perpindahan Juan Mata ke Manchester United dari kelab Chelsea. 

Dengan nilai 37.1 juta pound, pemain Sepanyol ini terus dijadikan bahan pemerhatian peminat di seluruh dunia. 

Peminat United, peminat Chelsea… hampir semua orang mahu mengetahui, adakah Mata mampu menempa nama di Old Trafford? Ataupun adakah akan terus menjadi satu lagi keputusan David Moyes yang menghala ke arah kegagalan?

Tiga tahun dan tiga pengurus kemudian, nama Mata terus menjadi sebutan peminat, sama ada sebagai penjaring gol ataupun disebabkan bantuan yang sentiasa mengagumkan. 

Selepas 131 penampilan bersama The Red Devils, Mata atau “Johnny Kills”, nama gelarannya di England, telah menjaringkan 33 gol untuk United dan percayalah, bilangan gol itu akan terus bertambah sehingga ke penghujung musim ini.

Selain kehebatan Mata memainkan peranan selaku pemain tengah, tonggak kebangsaan Sepanyol ini juga diminati disebabkan karakternya di luar padang. Baru-baru ini, akaun Twitter rasmi United telah memuat turun 11 gambar dan video pendek yang berjudul “11 sebab Juan Mata menakjubkan"

11 gambar dan video pendek ini bukan sahaja menceritakan tentang karier Mata bersama United, malah berkongsikan tentang bagaimana Mata melayan peminat dan bergaul dengan rakan sepasukannya. 

Ada beberapa momen yang menonjolkan Mata sebagai seorang yang serius, ada juga insiden yang menonjolkan keakrabannya bersama peminat khususnya yang muda.

Blog yang kerap dikemas kini juga menjadikan Mata begitu rapat dengan peminat. Walaupun kita sekadar mendengar luahan hatinya menerusi penulisan, namun kita boleh memahami apa yang bermain di fikiran seorang pemain bernama Juan Mata. 

Kita tidak melihatnya sebagai hanya pemain United, kita turut diberi ruang untuk mengenali beliau sebagai seorang manusia.

Menurut pengamatan peribadi saya, Mata bukan setakat hero di atas padang, namun sifat kemanusiaannya turut menyebabkan dirinya sangat disayangi peminat. Itu yang membezakan Mata dengan pemain lain.

Kepada Mata, selamat ulang tahun yang ketiga bersama United! Semoga terus berjaya bersama The Red Devils, dan mudah-mudahan kekal lama di Old Trafford. Juan tiada pengganti.

Advertisement

Must Watch Video