Ia harus berkira-kira di antara suatu gurauan dan sindiran yang menyakitkan hati: “Mat Zan tanya (Melaka) apa khabar?”
Menyusuli kekalahan terbaru Melaka United 1-2 kepada T-Team di Stadium Hang Jebat malam kelmarin – yang pertama di halaman sendiri setelah terdahulu seri 1-1 dengan Selangor dan tewas 3-2 kepada Perak – peminat di media sosial segera memperolok-olokkannya sebagai ‘sumpahan Mat Zan’.
Dengan hanya satu mata selepas tiga perlawanan, Melaka kini terperosok di zon penyingkiran – sesuatu yang harus tidak diingini penyokongnya untuk berlaku pada penghujung musim nanti -- selepas berhempas-pulas untuk naik ke tahap ini.
Cuma, satu-satunya orang yang harus jenuh tersedak gara-gara namanya kerap disebut, tidak pun menyimpan walau sekelumit rasa dendam.
Mat Zan, jurulatih yang mengemudi Melaka menjuarai Liga FAM 2015 dan mengulanginya dengan memacu skuad Hijau Putih memenangi Liga Perdana musim lalu, tidak dilanjutkan kontraknya dalam pada Melaka berkira-kira untuk mengunakan sentuhan Eric Williams bagi mencaturkan strategi mereka dalam Liga Super musim ini.
Namun, selepas hanya tiga perlawanan, peminat Melaka nampaknya sudah mula keresahan.
“Sepatutnya Mat Zan dikekalkan sebab dah bawa Melaka ke era kegemilangan tapi kena ‘sack’. Inilah balasannya,” cetus seorang netizen yang menggunakan akaun Facebook Haiman Hakimi sambil Mohamad Jasnizam menambah: “Salah pengurusan yang pergi pecat coach dan tukar banyak pemain yang bawa diorang juara.”
“Sumpahan Mat Zan,” kata Potet Azrul Anuar sambil turut diulangi Mohd Fazley, Zely Samad dan Fari Zan, antaranya.
“Mat Zan tanya apa khabar,” sindir Don Gibb, Pak Khay, Muhd Faiz Najmi dan Atan Kesidang, mencontohi lirik lagu ‘Apa Khabar’ nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne.
‘Sumpahan Mat Zan’ harus merujuk kepada ‘Sumpahan Bela Guttmann’ yang terkenal sehingga ke hari ini selepas separuh abad.
Wikipedia memaparkan pengurus Benfica dalam Liga Portugal, Guttmann, mengambil kesempatan daripada kejayaan memenangi Piala Eropah pada 1962 untuk menuntut kenaikan gaji daripada lembaga pengarah kelab.
Dengan permintaannya ditolak, lantas mendorongnya ‘angkat kaki’, Guttmann dikatakan menyumpah kelab itu: “Tidak dalam tempoh 100 tahun dari sekarang, Benfica akan tampil selaku juara Eropah lagi.”
Sama ada sumpahannya mahu dipercayai atau tidak, Benfica mara ke lapan final peringkat Eropah sesudah itu dan tewas kesemuanya – lima final Piala Eropah (1963, 1965, 1968, 1988 dan 1990) dan tiga final Piala UEFA dan Liga Europa (1983, 2013 dan 2014).
Mat Zan pula enggan terheret ke dalam kisah dongeng yang sama dengan mengungkapkan: “Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dalam bola sepak profesional.
“Masa dah berlalu dan apa yang berlaku dalam pasukan Melaka hari ini tiada kena-mengena dengan saya lagi.
“Doakanlah yang terbaik buat Melaka,” hujahnya.
Tidak seperti Melaka yang menyisihkannya, Mat Zan ternyata seorang yang berjiwa besar.
Rencana