Saat kepulangan Jose Mourinho dinantikan ramai peminat bolasepak, khususnya peminat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, kekecewaan dan kehampaan menimpa Mourinho dan kelabnnya, serta peminat Manchester United(Man Utd) apabila The Red Devils tumpas 4-0 menentang Chelsea.
Percaturan Mourinho tampak gagal, dan taktikal yang digunakan oleh Antonio Conte membuahkan hasil dan begitu berkesan untuk pasukan The Blues.
Selain kegagalan bahagian pertahanan untuk mengatasi penyerang-penyerang Chelsea, bahagian tengah dan hadapan juga turut mengundang kebimbangan dan tanda tanya sewaktu di Stamford Bridge.
Mempertaruhkan Ander Herrera dan Marouane Fellaini dibahagian tengah, strategi itu memakan diri apabila kedua-duanya gagal memberi kesan dan mudah dikawal oleh N’Gole Kante.
Walaupun Herrera bermain dengan baik sewaktu menentang Liverpool, dia gagal mendominasi bahagian tengah, begitu juga Fellaini, yang sememangnya sudah diketahui umum bukanlah seorang pemain yang mampu memberi impak hebat di bahagian tengah.
Taktik Mourinho untuk tidak menggunakan Michael Carrick atau Morgan Schneiderlin diragui ramai. Carrick, walaupun sudah berusia, sudah banyak kali membuktikan kebolehan beliau membantu barisan pertahanan dan pada masa yang sama boleh membuat hantaran kunci untuk membantu bahagian serangan, dua kriteria yang tidak ada pada Herrera ataupun Fellaini.
Herrera boleh membuat hantaran yang kemas dan kunci, sementara Fellaini juga berupaya memberi pertolongan dari segi pertahanan, namun kombinasi kedua pemain ini tidak menjadi dan servis yang diberi Carrick amat ditagih oleh peminat Man Utd.
Selain itu, prestasi merudum Zlatan juga memainkan faktor penting dalam kekalahan 4-0 ke atas Chelsea.
Zlatan Ibrahimovic hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja dalam 8 perlawanan sebelum ini, iaitu menentang Zorya Luhanks di Liga Eropah.
Zlatan melakukan cubaan paling banyak setakat in di EPL, namun masih gagal menjaringkan gol dalam 30 cubaan terakhir beliau.
Dia juga banyak melepaskan peluang keemasan, termasuk sewaktu Man Utd masih lagi ketinggalan 1-0 sewaktu menentang Chelsea.
Dengan Rooney masih belum menjumpai sentuhannya, dan Henrikh Mikhytaryan masih belum dapat menyesuaikan diri di EPL, ketumpulan di bahagian hadapan adalah perkara penting yang perlu dilihat oleh Mourinho.
Bekas pengurus Real Madrid itu sudah meminta maaf atas kekalahan tersebut, namun apa yang ingin dilihat oleh peminat Man Utd adalah keputusan yang memberangsangkan dan pasukan kesayangan mereka bersaing di tempat empat teratas.
Mereka juga tidak mahu peristiwa yang sama berulang sewaktu David Moyes dan Louis Van Gaal menjadi pengurus pasukan.