Skip to main content

Rencana

Mana wanita Malaysia?

zaidatul-husniah_2.jpg
Apa yang berlaku terhadap pelari pecut wanita negara?

Mengapa hanya 12 pelari mengambil bahagian dalam acara 100 meter wanita dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak?

Dimana semua juara-juara peringkat daerah, negeri, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) atau atlit institusi pengajian tinggi?

Hanya 12 pelari 100m wanita sekaligus menimbulkan persoalan di mana wakil Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka?

Saya bercakap mengenai acara 100m wanita, bukannya acara teknikal seperti lompat bergalah, lempar cakera atau rejam lembing.

Mustahil keempat-empat negeri itu tidak mempunyai seorang wanita yang mampu berlari!

Jika inilah situasi dalam Sukma, bayangkan apa akan berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi. Malaysia tidak akan mempunyai pelari pecut wanita berwibawa.

Zaidatul Husniah Zulkifli pasti menggeleng kepala melihat apa yang berlaku di Sukma. Di mana penggantinya? Sampai bila dia perlu terus berlari tanpa pencabar utama?

Lihat bagaimana dia berlari sendirian hingga mara ke separuh akhir Sukan Komanwel Gold Coast sebelum cipta sensasi mengulangi kejayaan G. Shanti, 20 tahun lalu apabila layak ke final Sukan Asia.

Frekuensi lariannya tinggi tetapi saiz tubuh kecil membataskan pencapaiannya.

Saya bimbang jika sesuatu menimpa Zaidatul, sama ada cedera atau mahu berehat untuk menghabiskan pengajian, Malaysia akan berhenti menyertai saingan pecut wanita di pentas antarabangsa.

Mungkin jurulatih pecut, Mohd Poad Kassim atau M. Balamurugan, perlu cari semula album lama, belek kisah enam atau tujuh tahun lalu ketika Malaysia memiliki ramai pelari pecut wanita seperti Nor Jannah Hafizah Jamaluddin, Nurul Sarah Abd Kadir, Yee Yi Leng atau Siti Zubaidah Adabi.

Paling hampir ketika ini adalah Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally dan ia hanya jika Kesatuan Olahraga Malaysia dapat bertolak-ansur susulan isu masalah disiplin mereka beberapa hari menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur, tahun lalu.

Apapun tahniah kepada pelari Terengganu, Azreen Nabila Alias, yang pecah rekod 100m Sukma dengan 11.81s.

Advertisement

Must Watch Video