Manchester United (Man Utd) dan Jose Mourinho perlu segera mencari percaturan baru jika ingin mencari kembali momentum kemenangan.
Dalam empat perlawanan terakhir, selain kemenangan ke atas Fenerbahce di Liga Eropah, prestasi the Red Devils tampak tidak konsisten.
Setelah berhempas pulas untuk seri 0-0 dengan Liverpool, atas persembahan cemerlang David De Gea, mereka dengan mudahnya ditumpaskan oleh Chelsea di tempat lawan.
Biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di perlawanan seterusnya dalam Piala Liga, kesebelasan utama jauh berbeza, dengan United membariskan Paul Pogba, Juan Mata dan Zlatan Ibrahimovic manakala City mempertaruhkan pemain muda seperti Kelechi Iheanacho, Pablo Maffeo dan Alex Garcia.
Membariskan pemain utama untuk perlawanan liga menunjukkan Mourinho berada dalam keadaan tertekan untuk mendapatkan kemenangan.Persembahan mereka tidak meyakinkan para peminat tegar mereka.
Ketiadaan Henrikh Mkhitaryan, Wayne Rooney dan keputusan Mourinho untuk terus meletakkan Ibrahimovic, walaupun beliau gagal menjaringkan gol sejak beberapa perlawanan menjadi tanda tanya.
Mkhitaryan hadir ke Man Utd pada musim perpindahan lalu, dan nampaknya tidak dapat menembusi kesebalasan utama Mourinho setakat ini.
Walaupun menampilkan persembahan yang menarik pada perlawanan pra-musim, Mourinho seakan berdegil untuk tidak meletakkan beliau di dalam skuad utama.
Mkhitrayan menjaringkan 20 gol dan 23 'assist' pada musim lalu di Bundesliga. Dengan statistik yang begitu memberangsangkan, ia menjadi persoalan mengapa pemain kebangsaan Armenia itu masih belum digunakan sepenuhnya oleh Mourinho.
Tindakan berani Mourinho untuk tidak menurunkan kapten pasukan Wayne Rooney mendapat pujian ramai sewaktu mereka mencatat kemenangan 4-0 ke atas Leicester City tempoh hari.
Namun, selepas itu keputusan Man Utd, kembali terumbang-ambing dan mungkin apa yang diperlukan adalah sentuhan dan kepimpinan Rooney sekali lagi.
Rooney, walaupun gagal mempunyai prestasi yang tidak meyakinkan beberapa bulan ini, masih boleh dilabel sebagai pemain yang mempunyai kredibiliti menjaringkan gol dan mengubah perlawanan.
Bagaimanapun ketiadaan beliau, serba sedikit mengurangkan pilihan yang ada tatkala penyerang utama Ibrahimovic juga sedang mengalami kemarau gol.
Ibrahimovic sekali lagi gagal untuk menjaringkan gol sewaktu menentang Chelsea ataupun City. Mungkin sudah tiba masanya untuk beliau direhatkan.
Pemain berusia 35 tahun itu sering menjadi pemain utama musim ini, tetapi mungkin sudah sampai masa Manchester United untuk beri sedikit masa untuk Ibrahimovic berehat.
Jamie Carragher melabelkan persembahan Ibra pada 45 minit pertama menentang City adalah terburuk sepanjang karier pemain Sweden itu.
Rooney, Marcus Rashford, malah Memphis Depay juga mungkin boleh digunakan untuk menjadikan serangan Man Utd lebih tangkas, dibantu Juan Mata, Jesse Lingard, Ander Herrera serta Paul Pogba, mereka berkebolehan mengeksploitasi pertahanan lawan dengan kelajuan.
Walau apa cara sekalipun, peminat Man Utd pasti berharap Mourinho tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk kembali mencari rentak kemenangan.
Jika sekali lagi tewas, maka peluang untuk merebut takhta liga, mungkin samar dan terlepas dari tangan The Red Devils.