Skip to main content

Rencana

Malu dengan Shaw

cover-shaw.jpg
"Saya melalui dua atau tiga tahun yang malang. Namun, itu sesuatu yang sudah berlalu dan saya terus memandang ke depan."
 
Nada ringkas tetapi penuh semangat itu disuarakan oleh pertahanan Manchester United, Luke Shaw, selepas akhirnya kembali menerima panggilan skuad kebangsaan England setelah mempamerkan persembahan memukau dalam empat aksi bersama The Red Devils, musim ini.
 
Kebangkitan di atas padang yang ditunjukkan Shaw mungkin satu perkara biasa buat seorang pemain bola sepak zaman moden, namun perlu diingat, pemain berusia 23 tahun itu pernah berdepan insiden ngeri dalam kariernya tiga tahun lalu.
 

 
Jika sebelum ini dia hanya lebih gemar mengambil sikap berdiam diri mengenai kecederaan patah kaki yang dialami ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah berdepan PSV Eindhoven itu, akhirnya Shaw membuka mulut.
 
Kecederaan kaki kanan yang dialami pada September 2015 itu bukan sahaja mampu membunuh kariernya, bahkan dia berdepan risiko kehilangan kakinya.
 
Dia tidak pernah sedar tentang situasi itu sehingga diberitahu oleh doktor yang merawatnya, enam bulan kemudian.
 
Selepas mengalami kecederaan berat itu, Shaw melalui tempoh yang boleh disifatkan sebagai hari-hari gelap.
 

 
Kira-kira setahun selepas itu, Shaw menjadi sasaran kritikan pengendali, Jose Mourinho, yang mendakwa bekas tonggak Southampton itu menjadi punca kepada jaringan kedua Watford setelah dia dikatakan leka membiarkan Nordin Amrabat berada jauh pada jarak 25 meter daripadanya sebelum tonggak Maghribi itu membuka ruang buat Juan Zuniga menjaringkan gol kedua lawan.
 
Selain itu, dia menjadi sasaran media selepas wujud gambarnya tidak berbaju di Ibiza, mempamerkan susuk tubuh yang kelihatan melebihi berat ideal sehingga menimbulkan persoalan mengenai kesediaannya untuk beraksi buat United.
 
Namun, Shaw pantas membalas kritikan itu dengan menyifatkan hanya dia yang mengetahui keadaan tubuhnya sambil menyamakan fizikalnya dengan pemain yang berbadan gempal seperti Wayne Rooney.
 

 
Bagaimanapun, semua situasi itu tampak terpadam sejak United memulakan saingan liga musim 2018/19 berdepan Leicester City, termasuk gol kemenangan yang dihasilkan Shaw dalam pertemuan tersebut sehingga dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
 
Berdasarkan prestasi yang dipamerkan Shaw ketika ini, barisan pemain United seharusnya berasa malu kerana dia telah membuktikan bahawa setiap kritikan yang diterima perlu diterjemahkan dengan usaha keras di atas padang dan bukan dengan jawapan serta alasan yang tipikal.


 
Nama-nama besar seperti Paul Pogba, Marcus Rashford dan beberapa pemain dalam skuad United seharusnya malu dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh Shaw dan tidak hanya menolak keburukan pasukan kepada individu lain seperti Mourinho dan naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward.

Advertisement

Must Watch Video