Berakhirnya aksi terakhir Liga Super pada Sabtu bererti kerancakan saingan Liga Malaysia sudah pun melabuhkan tirai bagi musim 2016.
Bagi penyokong tegar pasukan kesayangan masing-masing, ini merupakan tempoh paling membosankan apa tidaknya tiada lagi aktiviti hujung minggu untuk ke stadium atau sekurang-kurangnya berkumpul di hadapan kaca TV seperti kebiasaan.
Bagaimanapun penutup saingan liga Malaysia musim 2016 adalah sesuatu yang tidak dijangka sebenarnya.
Bagaimana sebuah pasukan yang cemerlang beri saingan di saingan separuh akhir Piala Malaysia seperti PDRM gagal cetus aura yang sama di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu.
Beberapa jam sebelum aksi bermula, penulis sempat bertemu pengendali PDRM Fauzi Pilus.
'Segalanya berada dalam perancangan rapi dan kami tidak rela turun ke Liga Perdana.' Itu kata-kata semangat daripada Fauzi sendiri.
Namun segala-galanya seakan tidak kena dengan PDRM pada Sabtu selain Fauzi sendiri melabelkan pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajuddin gagal bertugas dengan adil di atas padang.
Bagaimanapun satu situasi yang perlu ditelan Fauzi dan anak buah bahawa keputusan pengadil adalah muktamad.
'Ini malam yang malang buat PDRM, 90 minit atas padang gagal diadili sempurna dan kami terpaksa menanggung duka terbesar kembali ke Liga Perdana.' Kata Fauzi
Sementara itu tiada kata-kata simpati buat Terengganu, hakikatnya prestasi merudum pasukan yang pernah dilabel sebagai gergasi pantai timur ini benar-benar meragukan sejak awal musim lagi.
Terengganu dilihat sebagai pasukan yang memiliki keserasian terbaik melihat kepada skuad yang dibarisi pemain yang sama hanya beberapa penukara n pemain yang dianggap sebagai kekuatan tambahan Terengganu musim ini.
Bagaimanapun dari awal lagi Terengganu seolah-olah sudah menempah tiket awal isi slot penyingkiran.
Perkhabaran mengenai kembalinya bekas jurulatih Felda United iaitu Irfan Bakti mengemudi Terengganu hanya membawa cerita manis untuk musim hadapan semata-mata.
Hakikatnya nasib Terengganu lebih teruk daripada apa yang telah dijangka lebih-lebih lagi selepas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mengumumkan kemenangan percuma Pahang ke atas Kedah dua hari sebelum saingan terakhir Liga Super secara automatik meletakkan skuad Tok Gajah di zon selamat di saat akhir.
Sejauh mana protes Terengganu di atas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM gagal menafikan nasib sebenar skuad peteh pada Sabtu hakikatnya mereka kembali ke kancah Liga Perdana selepas 10 tahun mewarnai saingan di Liga Super.
Selamat datang ke Liga Perdana buat PDRM dan Terengganu.