Sebelum tahun 1999, 'Universiti' pernah dianggap sebagai tempat 'berkubur'nya kerjaya seseorang atlet. Atlet yang masuk belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpaksa membuat pilihan sama ada untuk berjaya dalam pengajian atau berjaya dalam sukan.

Jawapan yang sesuai dengan keperluan kehidupan pada waktu itu sudah tentulah ramai di antara mereka yang terpaksa melupakan kerjaya dalam sukan yang tiada jaminan yang kukuh pada waktu itu.

Tambahan pula pada waktu itu tiadanya 'fleksibiliti' untuk program pengajian atau kelonggaran minimum 'jam kredit' diberikan untuk atlet pelajar pada waktu itu dan belum wujudnya begitu banyaknya program-program khusus jurusan sukan di IPT.

Atlet pelajar pada masa itu menyambung pengajian dalam pelbagai jurusan lain dan terpulanglah atas kebijaksanaan atlet pelajar itu sendiri untuk membahagikan masa antara akademik dan sukan.

Justeru, sukan masih tetap sebagai 'template' sahaja di IPT pada waktu itu. Namun ia masih tetap dapat melahirkan atlet-atlet pelajar yang turut berjaya dalam akademik disebabkan mereka secara semulajadinya adalah pelajar-pelajar yang bijak, pandai dan berdisiplin.

Antaranya The flying doctor; Tan Sri Datuk Dr M.Jegathesan, Datuk Marina Chin, Datuk Zaiton Othman dan ramai lagi.

Namun, segalanya kini berubah apabila peranan utama IPT telah dinyatakan dalam Dasar Sukan Negara (DSN) 1999 supaya IPT memainkan peranan menawarkan lebih banyak tempat kepada atlet negara atau ahli sukan untuk menyambung pengajian dan pada waktu yang sama perlu memastikan mereka bergiat lebih aktif dan maju dalam sukan ketika berada di Universiti.

Maka lahirlah satu dasar khas yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi perlancaran Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (DPSIPT) 1999 dengan dua objektif utama iaitu untuk melahirkan 'the thinking athlete' dan menghasilkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet yang mewakili negara datangnya daripada IPT.

Sejak itu pembangunan sukan di IPT mula mengorak langkah ke hadapan. Wujudnya lapan buah Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) (kini tinggal tujuh buah PKS) dan 13 buah Pusat Sukan Tumpuan (PST).

Tanggungjawab ini diberikan kepada IPT dan IPTS terpilih yang mempunyai kelebihan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Semua PKS dan PST ini diberikan geran peruntukan tahunan untuk program pembangunan sukan masing-masing.

Menerusi DPSIPT juga akhirnya telah melahirkan lebih daripada 40 program-program pengajian khusus berkaitan sukan dari peringkat diploma hinggalah ke peringkat doktor falsafah dan membabitkan lebih 20 buah IPT awam dan swasta.

Kewujudan program-program pengajian khusus berkaitan sukan di IPT turut seiring dengan kaedah pengajian dan pembelajaran (P&P) yang lebih 'fleksibel' menerusi tempoh pengajian program yang lebih panjang, jumlah minimum 'jam kredit' yang ringan dan membolehkan atlet pelajar tidak terbeban untuk berjaya dalam akademik dan sukan sekaligus.

Pada waktu yang sama munculnya semakin ramai tenaga-tenaga akademik atau pensyarah-pensyarah daripada bekas-bekas atlet dan mereka yang mengerti erti toleransi terhadap pengorbanan seorang atlet pelajar ketika mereka mengalas bebanan sebagai seorang atlet negara dan seorang pelajar di IPT.

Kebajikan seseorang atlet pelajar yang telah menyumbang kepada negara dan IPT tidak dilupakan. Sejak 2006 hingga kini seramai hampir 2,000 atlet pelajar IPT awam dan swasta telah diberikan biasiswa khas Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi Atlet Cemerlang IPT. Walaupun tiada data khusus tentang kenyataan ini, kebanyakan atlet negara yang menerima biasiswa sukan KPT didapati lebih cemerlang prestasi mereka setelah menerima biasiswa ini.

Pengenalan 'laluan khas sukan' oleh KPT melalui pengambilan di UPU, laluan hijau ini diselaraskan bersama dengan Seksyen Sukan KPT dengan pembekal-pembekal data daripada Majlis Sukan Negeri, Sekolah-sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri serta IPT di seluruh negara telah menyemarakkan kemasukan atlet pelajar ke IPT.

Pembabitan atlet pelajar yang masih berada di bangku sekolah dalam acara-acara sukan anjuran KPT turut membuka mata serta meningkatkan minat mereka untuk lebih positif bagi menyambung pengajian di IPT. Antaranya penyertaan pemain Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) dalam Liga Bolasepak IPT, penyertaan Sekolah-sekolah Sukan Malaysia di Varsity Sepak Takraw League dan juga di Grand Final Varsity Track & Field nanti.

Pada waktu yang sama kejohanan bolasepak Pra U Cup yang telah masuk edisi ke 3 pada tahun lalu adalah kejohanan yang sangat berprestij anjuran KPT dan sangat dinanti-nantikan. Kejohanan ini membabitkan akademi-akademi utama bolasepak negara seperti AMD, Akademi JDT, Akademi Felda, Akademi Terengganu dan lain-lain termasuk pasukan Malaysia University. Kebanyakan daripada mereka kini sudah berada di IPT.

Kemasukan atlet pelajar juga didorong oleh program transformasi pembangunan sukan di IPT yang telah digerakkan sepenuhnya mulai 2022 menerusi penjenamaan semula program-program acara sukan utama IPT menerusi kaedah bersukan sepanjang tahun. Format kejohanan sukan di IPT telah diubah berperingkat-peringkat dengan kejohanan dijalankan secara liga, sirkit-sirkit dan diikuti dengan aksi di grand final.

Kewujudan logo 'Malaysian University' serta pengunaan nama pasukan 'Malaysian University' pada penyertaan di kejohanan-kejohanan kebangsaan, pengenalan 'UOlimpian' kepada atlet IPT yang berjaya layak ke Sukan Olimpik serta perubahan nama acara-acara sukan utama kepada 'Varsity' seperti Varsity Track & Field, Varsity Sepak Takraw League, Varsity Softball League, Varsity Chess Championship dan lain-lain. Malah aksi di Grand Final juga ada yang ditayangkan secara langsung di saluran sukan negara Astro Arena. Ini juga berkonsepkan penganjuran NCAA di Amerika Syarikat. Cuma untuk menjadikan program sukan di KPT diuruskan secara NCAA sepenuhnya mungkin satu pemikiran yang keterlaluan.

Kemajuan sukan di IPT sewajarnya menjadi penanda aras kepada kemajuan sukan negara. Jika pembangunan sukan khususnya sukan prestasi tinggi tidak diurustadbir dengan baik, tiada hala tuju yang jelas serta program yang tidak konsisten dan berstruktur serta tidak mendapat sokongan sepenuhnya KPT, maka sudah pasti kebanyakan misi kontinjen negara di penyertaan peringkat antarabangsa akan menemui kegagalan.

Sejak 2022 hingga kini, kontinjen Universiti Malaysia telah mencatat kejayaan cemerlang di Sukan Universiti Asean (AUG) Ubon Ratchathani Thailand 2022 apabila merangkul 49 pingat emas daripada 35 yang disasarkan untuk kedudukan ke dua keseluruhan di belakang Thailand.

Pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) Surabaya & Malang Indonesia 2024 yang baru berakhir beberapa hari lalu, kontinjen Universiti Malaysia turut berjaya melepasi sasaran 35 pingat emas apabila berjaya membawa pulang 38 pingat emas di kedudukan ke tiga di belakang Indonesia dan Thailand.

Pencapaian paling bersejarah kontinjen Universiti Malaysia adalah di temasya Sukan Universiti Dunia@Universiade Chengdu China 2023 apabila menamatkan kemarau pingat emas selama 38 tahun sejak penyertaan pertama di Universiade Kobe, Jepun 1985. Sukan Wushu menjadi penyumbang pingat emas tersebut menerusi Tammy Tan Hui Ling pelajar dari Asia Pacific University (APU).

Beberapa pasukan 'Malaysian University' kini turut layak beraksi di kejohanan kebangsaan. Antaranya pasukan bolasepak lelaki di liga A1 (liga separuh profesional), pasukan bolasepak wanita di liga nasional wanita kebangsaan, pasukan sepak takraw di STL premier, dan pasukan hoki wanita (juara liga hoki wanita kebangsaan dan piala sumbangsih 2024).

Kecemerlangan pencapaian atlet pelajar sebenarnya mampu untuk dipertingkatkan lagi. IPT mempunyai begitu ramai tenaga pakar serta sumber manusia yang sangat berpengalaman. Selain daripada itu IPT turut mempunyai pelbagai fasilitis sukan termasuk makmal-makmal yang lengkap untuk pelbagai kegunaan bagi meningkatkan prestasi atlet sukan pelajar dan atlet negara.

Bagaimanapun, janganlah menangani program sukan 'berprestasi tinggi' di peringkat KPT ini seperti menangani program sukan anjuran bahagian hal ehwal pelajar di IPT. Ada bajet buat dan tiada bajet tak payah buat. Atau banyak bajet buat dan kurang bajet buatlah setakat yang mampu.

Apa pun, Malaysia akan menjadi tuanrumah AUG 2026 nanti. Sudah pastilah ini peluang terbaik untuk Malaysia dinobatkan selaku juara keseluruhan. Kali terakhir Malaysia muncul juara adalah ketika di Laos pada 2012. Kali terakhir Malaysia menjadi tuanrumah AUG adalah pada 2008 di mana kita muncul juara keseluruhan buat kali pertama.

Peluang untuk menyenaraikan acara-acara yang menjadi kelebihan kita seperti boling, lawn bowl, skuasy dan mungkin wushu sudah pasti boleh mengesahkan kejuaraan menjadi milik Malaysia. AUG 2026 ini juga bakal menjadi platform utama pemilihan atlet negara untuk Sukan Sea 2027 nanti.

Akhir sekali, semoga program transformasi sukan di IPT yang telah dilakukan ini semakin mampan dan terus cemerlang. Maju sukan di IPT, majulah sukan negara.