Skip to main content

Rencana

Macam mimpi bawa obor Sukan SEA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

7817suzana.jpg
"Inshaallah panjang umur, nak cerita dengan anak, cucu dan cicit yang saya pernah membawa obor Sukan SEA"

Biarlah orang nak kata saya poyo sekalipun. Rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada pembawa obor Sukan SEA kali ini mengatasi segalanya. Malah ia menguatkan keazaman saya untuk bangkit seawal jam 4 pagi yang jujur saya katakan, kebiasaannya hanya dilakukan ketika bulan Ramadhan. Siap sedia, saya pun tiba ke lokasi yang menghimpunkan wakil media yang akan membuat liputan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti. Tidak ketinggalan selebriti tanahair dan orang ramai yang berminat menyertai larian obor yang merentasi kawasan utara daerah Petaling Jaya ini.

Mengantuk! Rasa itu tentu sahaja bertandang, apatah lagi melepasi waktu subuh sambil matahari mula menunjukkan diri tetapi perasaan teruja menantikan obor tiba di "check point 4" yang diwakili warga Astro Arena lebih mengasyikkan. Terdetik dalam hati, ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup. Bayangkan kali terakhir Malaysia muncul penganjur temasya ini pada 2001 di mana ketika itu saya masih di bangku sekolah. Walaupun ada di antara ibu bapa rakan-rakan saya turut menyertai larian ini, saya tidak mahu ambil risiko kerana mungkin sahaja saya tidak sehebat mereka di usia sama nanti.

Panas cuaca yang menemani tanggal 5 Ogos seolah-olah merestui niat murni kami untuk merancakkan lagi debaran menjelang Sukan SEA yang berbaki seminggu lagi. Selaku antara penyampai senior, Zainal Abidin Rawop mengetuai larian kami menuju ke hentian terakhir. Di atas kertas, laluan kami tidaklah sejauh larian maraton tetapi keadaan jalan yang sedikit mendaki boleh tahan mencabar juga. 

Sejarah! Macam tak percaya apabila nama saya dipanggil untuk ke hadapan dan meneruskan larian obor. Tanggapan awal bahawa obor itu berat meleset sama sekali sebaik ia digenggam rapi, atau mungkin sahaja keadaan saya yang seperti di awang-awangan membuatkan kaki rasa lebih mudah melangkah. Laju, saya sendiri tak pasti saya melakukan langkah sama ketika menyertai mana-mana maraton sebelum ini. Begitulah hebatnya kuasa adrenalin yang tuhan berikan. 

Di sebalik hati berbunga dan senyuman sampai ke telinga, larian obor ini saya pasti bukan setakat suka-suka sahaja. Ia membawa pelbagai mesej tersirat dalam konteks yang perlu dihadam jiwa manusia itu sendiri. Buat seketika saya menoleh ke belakang, melihat rakan-rakan penyampai dan kumpulan pelari yang mengiringi sejak tadi, semuanya terdiri daripada pelbagai bangsa, contoh mudah betapa aktiviti sukan seringkas ini mampu menyatupadukan kami, dan obor tadi pun saya serahkan kepada pembawa seterusnya, sambil berharap ia terus menyebarkan mesej positifnya kepada semua. 

Advertisement

Must Watch Video