Skip to main content

Rencana

Luqman Hakim, nak hidup, makan batu dan kayu pun boleh!

afc-u-16-championship-malaysia-tajikistan.jpg

Percayalah jika saya katakan, yang saya amat memahami perasaan, malah debaran, apabila peluang bermain dengan kelab luar negara di peringkat antarabangsa terbentang di hadapan mata. Segala macam persoalan dan juga keraguan, mula berlegar di minda. Secara automatik, perasaan bangga, terharu, sinikal, bercampur baur, menghasilkan ramuan yang memeningkan.

Am I ready for the big leagues? Boleh ke aku compete physically? Macam mana training nanti? Kat mana ada jual nasi lemak?

Advertisement

Ya, bohong kalau hal makanan tidak langsung difikirkan. Biarpun bukan persoalan utama, hal santapan tetap akan direnungkan.

Jika saya imbas kembali memori saya ketika berpeluang menjalani latihan dengan kelab di luar negara, pengalaman itu membutirkan satu pengalaman dan pembelajaran yang amat membuka mata. Betapa tersusunnya sistem latihan yang dikendalikan, dan betapa ke hadapan keadaan fizikal dan skill pemain-pemain sepasukan. Secara harfiah, saya kerdil jika dibandingkan dengan pemain-pemain antarabangsa yang lain. Namun saya tahu, untuk menjadi seorang pemain yang lengkap, pengalaman ini harus saya manfaatkan sepenuhnya.

Secara umumnya, bukan mudah untuk pemain dari Asia untuk mendapat peluang beraksi liga luar. Benar, Asia adalah benua terbesar di dunia, tetapi dalam bola sepak, Asia masih dilihat sebagai benua kecil dari segi bakat dan pembangunan. Saya tidak dapat bayangkan kepayahan yang dilalui oleh Kazuyoshi Miura ketika berkelana ke Brazil pada umur 15 tahun, untuk merealisasikan impian beliau sebagai pemain bola sepak profesional. Segala penat lelah dan usaha beliau, bermain dangan pelbagai kelab di negara tersebut, termasuklah kelab terkemuka Santos, yang memulakan karier profesionalnya, akhirnya mencambahkan kejayaan buat beliau sekembalinya ke Jepun, dan kini, layak digelar sebagai salah seorang legenda bola sepak negara matahari terbit itu.

At the age of 53, he's still playing! Pengalaman itu sememangnya mematangkan. Kau mampu?

Buat pemain Malaysia, Dali Omar dan Chow Chee Keong membuktikan yang pemain tempatan juga mampu bersaing dan beraksi di liga luar. Liga Australia & Liga Hong Kong adalah dua medan buat kedua ikon ini memerah segala kudrat untuk membuktikan yang Malaysia juga mampu melahirkan barisan pemain yang boleh berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain antarabangsa. Kagum saya dengan kekuatan personaliti mereka kerana berani mempertaruhkan nasib di luar negara, di mana internet dan segala kelebihan zaman moden masih belum wujud ketika itu.

Kejayaan Dali dan mendiang Chee Keong, membuka jalan untuk beberapa pemain meluaskan karier di luar negara. Benua Asia dan Eropah menjadi saksi kesungguhan pemain-pemain Malaysia menunjukkan aksi dan seterusnya membuka mata terhadap bakat yang dimiliki. Kami – ya, termasuk saya – berpeluang untuk bertapak di atas padang asing dan meluaskan kerjaya di luar tanah air yang tercinta.  

Tanpa legenda-legenda ini, no roads will be paved. Thank you, dear Sirs!

Satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan adalah peranan ejen dalam memudahcara dan membantu transisi untuk pemain bermain di luar negara. Saya terkenang kembali saat saya pernah ditawarkan bermain dengan sebuah kelab elit di luar negara. Betapa girangnya hati saya ketika itu, tak mampu saya gambarkan dengan kata-kata. Beraksi untuk kelab bola sepak terkemuka itu sebelum ini, saya sangkakan hanya akan jadi impian yang tak akan kunjung tiba. Segala mimpi yang saya fikir akan kekal selamanya mimpi, kini mampu menjadi kenyataan.

Namun, apa yang menghampakan adalah saya hanya mengetahui perkara tersebut selepas memperbaharui kontrak dengan kelab yang saya wakili ketika itu. Situasi ketika itu bukannya ibarat tatkala kapal sudah berlayar, saya baru sampai ke pelabuhan, tetapi lebih kepada sesudah bahtera berlepas, saya baru tahu ada persinggahan di dermaga.

Ya, saya tahu bidalan itu rekaan semata. But that's how I felt at the time.

Saya tidak tahu kenapa, tetapi saya seolah mencipta justifikasi untuk tindakan ejen tersebut. Barangkali ejen itu tidak mendapat keuntungan banyak jika saya ke luar negara, atau mungkin tinggi risikonya jika sesuatu terjadi jika saya bermain di luar, dan mungkin sahaja dia hanya cuba menjaga kepentingan saya dalam bola sepak. Namun, lebih lama saya berfikir, lebih saya merasakan yang ini satu kerugian besar untuk karier saya dengan once in a lifetime opportunity ini.

Apa yang lebih menyedihkan, perkara sebenar tidak pernah keluar dari mulut ejen tersebut. Semua butiran mengenai perkara ini saya ketahui dari beberapa individu lain, yang juga dalam bola sepak. Mereka ini yang memberitahu saya tentang bagaimana saya begitu hampir dalam merealisasikan impian untuk beraksi di luar negara.

Bukankah ini satu pembelotan? Orang yang saya percaya dengan sepenuh hati untuk membantu saya dalam mengurus karier bertindak seperti api dalam sekam, demi keuntungan yang sekelumit cuma. Di waktu saya berada di persimpangan yang mampu merubah halatuju kerjaya saya, insan ini menidakkan peluang keemasan buat saya, dengan cara yang paling tidak jujur.

Berikan aku 10 jari, akan aku genggam bara api hingga jadi arang. Beri aku satu jari - jari tengah yang akan aku hidangkan buat satu pengkhianatan!

Kerana itu buat pemain-pemain muda, jangan jadi seperti lembu dicucuk hidung kerana ini adalah adalah karier anda dan anda berhak menentukan haluan sendiri. Berdiri di atas bakat sendiri, bukan bertopang pada hati yang tak sudi.

Saya gembira melihat pemain muda negara seperti Dominic Tan dan juga Hadi Fayyadh yang kini mencuba nasib di luar negara. Dominic kini di musim kedua dengan kelab Liga Satu Thailand, Police Tero dan sudah pasti, dia sudah meraih beberapa pengalaman berharga beraksi sebagai pemain import di sana. Biarpun masih di Asia Tenggara, Thailand adalah destinasi yang baik juga buat pemain kita kerana Thai League 1 tidak begitu jauh, dan masih antara liga terbaik di rantau Asean dan turut mempunyai slot ke Liga Juara Juara AFC.

Hadi pula berdepan cabaran lebih sukar di Jepun dan mungkin sesetengah pihak tidak faham kesukaran yang dihadapinya di sana. Memang benar, kelab Fagiano Okayama sekadar pasukan Liga J2, tetapi tahap bola sepak di Jepun sebenarnya cukup tinggi dan tahap mereka menghampiri Eropah ketika ini. Sengitnya persaingan di Jepun, musim pertama Hadi di sana menyaksikan beliau gagal beraksi walaupun satu perlawanan J2 bersama kelab tersebut.

Tetapi Hadi memang seorang yang cekal. Ketika kami pernah berinteraksi satu ketika dahulu, Hadi tidak pernah malu untuk meminta nasihat dalam menelusuri onak dan duri sebagai pemain bola sepak profesional. Kini, dia sudah boleh berkomunikasi dalam bahasa Jepun dan baru-baru ini berjaya menjaringkan gol dalam aksi persahabatan berdepan juara Liga J musim 2015, Sanfrecce Hiroshima. Malah baru-baru ini beliau dilantik sebagai Duta Pelancongan Kesihatan Okayama oleh Datuk Bandar Okayama sekaligus menjadi pemain bola sepak Malaysia yang pertama mendapat pengiktirafan itu.

Hebat kau Hadi. 2 tahun di Jepun, dah jadi duta!

Ini pandangan peribadi saya - kalau dalam tempoh setahun lagi Hadi masih belum berjaya mengukuhkan tempat dalam pasukan, jangan terus mahu pulang dan akhirnya kembali ke Liga Malaysia! Hadi masih muda dan memandangkan pengalaman sudahpun dikaut dengan bermain di Jepun, pasti tidak ada masalah untuk Hadi jika mahu mencuba nasib di negara lain pula selepas ini. Dari aspek fizikal, Hadi mempunyai ketinggian yang ideal, yang tidak ada pada penyerang tempatan lain. Tidak keterlaluan jika saya katakan, Hadi mengingatkan saya pada Harry Kane, kerana itu saya percaya dia mampu terus beraksi di luar negara. Teruskan berkelana, dan lebarkan sayap di peringkat antarabangsa.

Ok. Let’s cut to the chase -  Luqman Hakim pula bagaimana?

Wajar buat penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini sah akan ke kelab Belgium, KV Kortrijk, mencontohi kecekalan Hadi dan pemain-pemain yang saya ceritakan di awal tadi. Malah, lebih baik, terus saja hubungi Hadi dan minta nasihatnya mengenai cabaran beraksi di luar negara. Tidak salah meminta pandangan dan maklum balas dari mereka yang berpengalaman. Buang sahaja rasa malu, demi masa depan.

Saya beranggapan Luqman punya potensi yang cukup tinggi, memiliki kepantasan dan juga naluri menjaringkan gol yang baik buat seorang penyerang. Apa yang penting, Luqman perlu mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal serta dapat pandangan daripada mereka yang benar-benar faham mengenai bola sepak.

Biarpun kelab ini tidaklah sebesar Anderlecht, Standard Liege mahupun Club Brugge di persada bola sepak Belgium, namun pengalaman ini tidak harus dipandang enteng. Malah sebagai pemain, saya secara peribadi akan berasa lebih selesa jika beraksi di kelab luar negara seperti KV Kortrijk kerana kurang tekanan dan saya berharap Luqman juga berasa begitu apabila bersama mereka nanti.

Luqman juga perlu bersedia beraksi di posisi berbeza di sana. Saya berkata demikian kerana terdapat kemungkinan ini akan berlaku. Jika difikir secara logik apabila Luqman turun berlatih bersama kelab baharunya nanti, jurulatih di sana pasti melihat apa yang ada pada Luqman untuk memberi kelebihan buat pasukannya dan juga kelebihan Luqman berbanding pemain lain.

What do you bring to the table? Tahap penyesuaian diri kau di takuk mana?

Tidak mustahil, memandangkan di Eropah, keutamaan diberi kepada penyerang berbadan sasa sebagai pilihan utama, dan sekiranya kepantasan dilihat sebagai aset utama berbanding rakan lain di sana, Luqman mungkin dikerah bermain sebagai pemain sayap. Jadi, harus pantas untuk menyesuaikan diri.

Saya pasti, kita semua menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan pemain tempatan menempa nama di persada antarabangsa. Siapa yang tidak mahu nama Malaysia tertera di dada muka belakang akhbar di luar negara? Secara tidak langsung, kejayaan mereka, boleh diraikan sebagai kejayaan Malaysia, sebagai negara yang mampu bangkit dari abu-abu kekecewaan buat sekian lama, dan terus diabadikan dengan kejayaan yang berterusan.

Oh ya, lupakan nasi lemak dan roti canai tu, Dik. Belajar masak dengan mak dulu, dan masak sendiri. Pun boleh!

Must Watch Video