Skip to main content

Rencana

Liverpool, Robin Hood EPL

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

klopp7517.jpg
Selepas tewas kepada Hull City 2-0 pada 4 Februari lalu, Liverpool bangkit dalam aksi seterusnya berdepan Tottenham Hotspur dengan kemenangan 2-0, membuktikan sekali lagi pada musim ini reputasi mereka sebagai Robin Hood kepada Liga Perdana Inggeris (EPL), di mana The Reds meraih mata penuh daripada kelab-kelab yang kaya (Chelsea, Tottenham) dan mendermakannya semula kepada kelab-kelab kecil (Swansea, Hull).

Tiada sebarang keraguan bahawa Jurgen Klopp telah melakukan tugas yang baik di Liverpool. Sejak menyertai kelab pada 2015, The Reds kembali menjadi salah sebuah pasukan yang tidak lekang dengan kemarau gol dan berjaya menggugat pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Bagaimanapun, Liverpool juga mampu ditewaskan mana-mana pasukan. Melihat kepada keputusan perlawanan Liverpool musim ini, Liverpool berkemungkinan besar mampu berada di tangga teratas liga jika mereka tidak tewas kepada kelab-kelab bawahan. 

Liverpool tewas terlalu banyak dalam perlawanan yang menyaksikan mereka sebagai pasukan pilihan. Dalam beberapa perlawanan ini, Liverpool kurang bernasib baik untuk meraih tiga mata penuh. 

Dalam perlawanan berdepan Hull, The Reds memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi Sadio Mane dan Philippe Coutinho gagal menemui sentuhan penyudah untuk menembusi gawang gol lawan.

Perkara yang sama berlaku pada 23 April, ketika menerima kunjungan Crystal Palace. Christian Benteke muncul pemusnah bekas kelabnya apabila meledak dua gol dalam perlawanan tersebut.

Jadi, mengapa Liverpool bergelut berdepan kelab bawahan?

Di sebalik ketiadaan tuah, Liverpool memiliki beberapa faktor lain yang menyaksikan mereka terlepas peluang untuk meraih tiga mata penuh. 

Menyedari bahawa jentera serangan Liverpool meledak banyak jaringan, kelab-kelab bawahan menerapkan strategi bertahan secara total dan menantikan saat terbaik untuk melancarkan serangan balas.

Liverpool turut memiliki masalah untuk mengekalkan konsistensi di bahagian pertahanan, ia merupakan satu perkara yang diingatkan oleh setiap pengendali pasukan menjelang pertemuan berdepan The Kop. Kegagalan Dejan Lovren mengekang pergerakan Benteke punca mereka dibolosi dalam pertemuan tempoh hari.

Kebergantungan kepada penyerang kebangsaan Senegal, Mane, yang bertindak menggugat barisan pertahanan lawan merupakan aset yang besar buat Liverpool. 

Ketiadaannya ketika berkhidmat untuk Les Lions dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2017 (AFCON) serta sering diketepikan kerana mengalami kecederaan secara tidak langsung mengurangkan kebarangkalian Liverpool untuk meledak jaringan.

Di sebalik apa yang berlaku kepada mereka, Liverpool kini menduduki tangga keempat, berkongsi mata dengan Manchester City (69 mata) serta memiliki kelebihan satu perlawanan. Mereka juga berada di landasan terbaik untuk kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim hadapan.

Ternyata, Klopp menyedari apa yang berlaku kepada pasukannya dan sesuatu sedang dirancang oleh beliau bagi meningkatkan prestasi pasukannya untuk menghadapi cabaran musim hadapan.

Advertisement

Must Watch Video