Skip to main content

Rencana

Liga Perdana Inggeris rancak jual beli

1_15.jpg
Bermula dengan pemergian Philippe Coutinho ke Barcelona, diikuti Alexis Sanchez ke Manchester United yang turut membabitkan Henrikh Mkhitaryan berpindah ke Arsenal, pasukan-pasukan utama di Liga Perdana Inggeris dilihat terus memperkuatkan skuad dengan rancak menguasai pasaran jual beli pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.

The Blues dilihat awal memulakan proses pembelian dengan mendapatkan Ross Barkley bagi memperkuatkan jentera tengah, Antonio Conte juga berjaya menandatangani Olivier Giroud bagi menajamkan jentera serangan.

Sebelum kedatangan Giroud, beberapa nama besar seperti Andy Carroll, Peter Crouch dan Edin Dzeko disebut-sebut bakal dipancing The Blues.

Kem Arsenal turut kehilangan Theo Walcott yang berpindah ke Everton untuk menyertai skuad bimbingan Sam Allardyce di Goodison Park.

Kehilangan Sanchez, Giroud dan Walcott tidak meresahkan Arsene Wenger apabila Arsenal berjaya mendapatkan Pierre Emerick Aubameyang dari Borussia Dortmund yang bakal bergandingan dengan Alexandre Lacazette di jentera serangan.

Daniel Sturridge turut bakal beraksi buat pasukan lain apabila menyertai West Bromwich Albion dari Liverpool secara pinjaman.

Penulis melihat kemeriahan perpindahan pemain sekarang sebenarnya banyak terarah kepada kehendak pemain yang mahu berada dalam kesebelasan utama kelab bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan bagi aksi Piala Dunia 2018 Jun nanti.

Lihat sahaja Giroud, Walcott, dan Sturridge, mereka sebenarnya terdesak untuk mendapatkan minit permainan di atas padang, namun ianya sukar andai sering sahaja berada di bangku simpanan.

Ross Barkley pula langsung tiada dalam senarai 18 pemain di Everton untuk musim ini biarpun beliau merupakan tonggak utama pasukan Everton musim lalu.

Apa pun, diharapkan kemeriahan saingan liga perdana inggeris akan berterusan dan biarpun carta liga didominasi Manchester City yang jauh meninggalkan pencabar lain dengan16 mata, saingan di tempat kedua dilihat lebih mengujakan dengan United, Liverpool dan Chelsea yang bersaing hebat.
 

Advertisement

Must Watch Video