Saingan Liga M 2017 sudahpun bermula 20 Januari lalu dan tumpuan pasti terarah kepada saingan kelompok elit di Liga Super.
Apa yang menarik dalam aksi pertama Liga Super musim ini adalah, daripada sembilan gol yang diraih daripada lima perlawanan, enam gol adalah jaringan pemain tempatan.
Ia termasuk juga aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah yang menyaksikan kapten kedua-dua pasukan, Safiq Rahim dan Baddrol Bakhtiar muncul penjaring.
Pemain tempatan lain yang meraih gol pada aksi pertama ialah Norshahrul Idlan Talaha (Felda United), Adam Nor Azlin (Selangor), Norhakim Hassan ( T-Team) dan Ahmad Syamim Yahya (Pahang).
Penulis berharap musim 2017 bakal menyaksikan adanya pemain tempatan yang mampu mencabar awang import dalam carta penjaring terbanyak.
Ia juga sesuatu yang positif apabila penyerang kebangsaan, Norshahrul meledak jaringan tunggal ketika Felda mengatasi PKNS FC 1-0 kerana ia pasti mengembalikan keyakinan pemain itu yang musim lalu lebih kerap dihimpit masalah kecederaan.
Penulis optimis, pemain berpengalaman lain seperti bekas penyerang JDT, Safee Sali juga mampu menyinar bersama PKNS musim ini.
Penulis turut berharap penyerang tempatan yang boleh dikatakan terbaik kini, Ahmad Hazwan Bakri turut cemerlang bersama kelab barunya, JDT.
Selepas aksi perlawanan pertama, mungkin terlalu awal untuk menilai kemampuan setiap pasukan.
JDT tetap pilihan utama, namun dengan tindakan kelab itu meleraikan ikatan dengan Mario Gomez selaku pengendali, ia pasti menimbulkan sedikit keresahan dalam kalangan segelintir peminat mereka mengenai kelibat Benjamin Mora selaku penggantinya.
Musim lalu, penulis serta ramai pemerhati bola sepak tempatan meramalkan Terrengganu selaku pencabar utama buat JDT jika berlandaskan pemain yang dimiliki skuad Peteh namun jangkaan itu meleset dan Terengganu ke Liga Perdana.
Kali ini, di atas kertas dilihat pencabar JDT ialah Perak dengan kemasukan pemain seperti Nazrin Nawi, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Shahrom Kalom.
Namun terdapat perkhabaran dari rakan-rakan media penulis di Ipoh, nama-nama besar yang dibawa bukan pilihan jurulatih pasukan, Karl Heinz Weigang sebaliknya pilihan pengurusan PAFA.
Pasukan yang penulis percaya mampu memberi cabaran jitu kepada JDT ialah Kedah berlandaskan kemampuan Tan Cheng Hoe selaku pengendali dan juga kualiti serta purata umur pemain skuad Lang Merah.
Pasukan lain yang penulis ramal mampu mencabar lima tempat teratas Liga Super ialah PKNS FC, Felda United, Pahang, T Team, Melaka, Kelantan dan mungkin juga Selangor di sebalik kemelut dalaman FAS yang masih belum terlerai sepenuhnya.
Musim 2017 adalah musim yang sukar diramal, namun apa yang pasti aksi pertama memberi gambaran ia mungkin saingan lebih sengit berbanding musim lalu.