RENCANA
Legasi Lucho, karisma Shukor: Bukan senang nak cari import dan kapten yang baik
Saya tidak dapat nafikan yang saya agak seronok melihat kemeriahan yang diterjemah melalui perkhabaran terkini pasukan-pasukan Liga Malaysia yang sedang ligat memperkuatkan jentera menjelang persaingan musim akan datang. Lihat sahaja di twitter, perlumbaan untuk menjadi Fabrizio Romano Malaysia boleh dikatakan sengit dengan gosip dan berita-berita terbaru, khususnya tentang pemain-pemain dari luar negara yang bakal melengkapkan kuota import setiap pasukan.
Pemain kebangsaan Indonesia Stefano Lilipaly berada dalam senarai pendek calon import Pahang, namun mungkin tidak dipilih berdasarkan keperluan posisi pasukan yang memerlukan penyerang tulen dan pertahanan bagi mengisi baki kuota pemain import.— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 16, 2021
Sekian lama saya melibatkan diri dengan bola sepak Malaysia, sudah acapkali saya berpeluang untuk mengenali pelbagai ragam pemain dari luar negara ini. Ada yang menghiburkan, ada yang mesra, dan sudah tentu, ada yang agak janggal perwatakannya.
Satu ketika dahulu, pasukan saya disertai seorang pemain import dari benua Amerika Selatan. Konsisten, dan sangat berbisa di hadapan gol. Malah, sangat prolifik dalam menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.
Iklan
Namun, sikapnya ketika latihan, kadangkala menguji kesabaran, dan juga iman kami sebagai manusia. Seringkali pergaduhan dan perselisihan faham tercetus akibat pemain import ini, terutama sekali sekiranya beliau off-form ketika latihan. Saya tidak dapat lupakan saat beliau bertengkar dengan rakan sepasukan di posisi pertahanan, hanya kerana beliau tidak dapat melepasi pemain ini ketika latihan.
International, main bagus, tapi mental cepat koyak. Get a grip, dude!
Mungkin dalam minda beliau, status sebagai pemain import itu menghalalkan setiap tingkah laku beliau tidak kiralah sebelum atau selepas perlawanan, dan di dalam atau di luar padang. Malah jurulatih pasukan sendiri menghadapi kesukaran dalam mengawal pemain import ini, sehinggalah pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan beliau dari pasukan, demi keharmonian pasukan.
Ya, bunyinya agak cliché. Seakan tajuk lagu propaganda yang dialunkan tanpa perasaan hanya sebagai syarat. Tetapi perkataan harmoni itu sebenarnya membawa maksud yang amat penting dalam membentuk keserasian dalam pasukan. Bola sepak ini bukan hanya untuk kemenangan, tetapi lebih dari itu.
Tiada tempat untuk primadona dalam bola sepak. It's not a one-man sport. It's a team sport.
Saya juga berkesempatan untuk beraksi sepasukan dengan seorang pemain import dari Eropah yang datang ke tanah air dengan reputasi yang cukup gah. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa beliau antara import terbaik yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia, dengan skil dan tahap permainan yang cukup luar biasa. Malah, ramai yang mengatakan bahawa kehadiran beliau dalam bola sepak Malaysia merupakan satu manifestasi betapa kini, liga kita mampu menapak lebih jauh dari yang sepatutnya. Tetapi, di sebalik kezahiran itu, pemain ini mempunyai satu tabiat yang bukan kelaziman bagi seorang atlit bertaraf elit.
Beliau adalah seorang perokok tegar.
Jawapan beliau sangat bersahaja apabila ditanya oleh kami, rakan sepasukan, selepas satu sesi latihan tentang tabiat beliau itu: "Yeah, it's normal for me. After training hard, I have to smoke."
Bukan main tenang jawapan kau, ye. Kalau pemain tempatan hisap rokok, sampai viral, kena maki bagai. Player import yang buat, macam maksum!
Saya tidak mengatakan yang saya sempurna, tetapi gelagat sebegini bukanlah satu contoh yang baik sebenarnya, khusus buat pemain-pemain muda tempatan. Mulalah fikiran ini menerawang, mempersoalkan bagaimana bayaran tinggi untuk pemain ini dijustifikasikan dengan perangai sebegini? Bukankah ini, membiakkan satu perlakuan kurang sihat di kalangan pemain-pemain kita?
Saya akui, ada juga pemain import yang boleh dilihat sebagai role model tatkala kehadiran beliau dalam bola sepak Malaysia.
Ambil sahaja contoh bekas pengurus dan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Luciano Figueroa atau lebih sinonim dengan gelaran Lucho. Dengan reputasi yang sangat tinggi, serta resume yang merangkumi aksi di La Liga, Serie A, EPL dan juga bersama Argentina, beliau merupakan epitome pemain antarabangsa yang pernah beraksi di tanah air kita. Cukup profesional, berskil tinggi, serta yang paling penting, hormat untuk dihormati.
Bagi saya, seorang pemain yang sanggup berkorban biarpun mengalami kecederaan, untuk memastikan pasukannya mampu bersaing dalam perlawanan Akhir Piala AFC tahun 2015, dan seterusnya beraksi cemerlang dan membantu pasukannya memenangi trofi paling penting dalam sejarah pasukan - adalah wira sepanjang hayat.
You are a warrior, bro. That Luciano Figueroa Stand is totally a recognition that you deserve!
Luciano Figueroa has been with @OfficialJohor since 2014, both as a player and now as a manager. Won the league title twice as a player, once as a manager.So it’s really no surprise that he now has a stand named after him at the brand new Sultan Ibrahim Stadium!#StadiumAstro pic.twitter.com/JE0ZT5FFX9— Stadium Astro ? (@stadiumastro) September 22, 2020
Sama juga seperti dua bintang dari Indonesia yang pernah menyarung jersi Selangor, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas. Kedua-dua pemain ini mempunyai status yang cukup gah di rantau Asia Tenggara sebelum mereka menyertai Selangor pada 2005. Tetapi sikap mereka yang cukup merendah diri, senang bergaul rapat dengan pemain tempatan, serta sentiasa profesional di dalam dan di luar padang, menjadikan reputasi mereka sebagai pemain import terbaik pernah beraksi di liga kita.
Sentiasa menghormati, tidak kira lawan atau rakan sepasukan, Bambang dan Elie adalah contoh yang sangat baik untuk pemain-pemain yang berhasrat untuk bermain di luar negara. Keramahan mereka berdua dengan semua orang juga merupakan satu aset penting dalam membentuk perhubungan yang baik dengan ekosistem bola sepak negara dengan status pemain import. Tidak hairanlah mereka berdua pernah menyarung armband sebagai kapten pasukan bola sepak Indonesia (TIMNAS).
Lo berdua emang keren banget. Gue bangga gelar lo berdua sahabat.
Sebut tentang kapten, terus terang saya katakan, tidak cukup kosa kata dalam perbendaharaan Bahasa Kebangsaan kita sekiranya saya senaraikan jenis Kapten ada dalam bola sepak Malaysia.
Kapten merupakan tunggak utama pasukan dan juga boleh dianggap sebagai perantara antara pemain dan jurulatih, serta pengurusan. Ada di antara mereka yang cukup berpengaruh sehingga kadang-kadang, mereka mampu mempengaruhi pengurusan pasukan untuk mengambil keputusan mengikut kehendak mereka.
Ada seorang kapten ini, yang perwatakannya tampak pendiam, tetapi mampu mempengaruhi pengurusan unutuk menamatkan khidmat seorang jurulatih import, hanya kerana tidak serasi dengan pendekatan jurulatih tersebut.
Dia punya power, sampai Presiden persatuan pun dengar cakap dia. Hebat brader ni.
Oleh kerana itu, pemain atau kapten seperti ini, tidak akan berhijrah ke pasukan lain dek kerana terlalu selesa. Dari awal karier sehingga ke penghujung, kekal dengan pasukan sama.
Yang kurang cantik, ialah apabila timbul isu gaji, kapten yang berpengaruh dan akrab dengan pengurusan kadang-kala tidak membenarkan pemain-pemain lain membuat laporan kepada FAM atau PFAM, hanya kerana memikirkan reputasinya dengan pegawai-pegawai tertinggi pasukan. Itulah sebabnya isu berkaitan gaji tertunggak sesebuah pasukan itu, kadang kala sudah berbulan kita dengar, tapi tiada tindakan diambil.
Jaga tengkuk sendiri nampaknya, brader. Player lain ni makan hati je ke jawabnya?
Sekiranya saya diminta untuk menamakan contoh unggul seorang kapten, pilihan saya sudah tentunya Shukor Adan.
Figura seperti beliau adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh setiap pasukan. Setiap tingkah laku, tutur kata, mencerminkan apa erti kepimpinan sebenar. Beliau sentiasa percaya akan kebolehan pasukannya, dan sentiasa memberi 120% dalam setiap perlawanan.
Lihat sahaja bagaimana beliau menangani satu insiden tular yang membabitkan pemain pasukan negara, yang mana ketika itu, pasukan di ambang penyingkiran sebuah kejohanan besar rantau ini.
Tutup mulut, pekakkan telinga, buat kerja atas padang, dan pastikan menang. Nasihat mudah, tapi efektif.
Hasilnya, pasukan mara sehingga perlawanan akhir, dan Shukor sendiri menjaringkan gol untuk membantu pasukan negara melakar keputusan yang di luar jangkaan itu. Segala kontroversi sebelum itu, terus dilupakan, yang bagi saya, kerana kepimpinan yang ditunjukkan oleh Shukor.
Sukar untuk saya jelaskan apa yang ada pada kapten seperti Shukor, yang mampu membawa pasukan keluar dari terowong kemurungan dan kekalahan. Bukan sesuatu yang boleh diajar, tetapi suatu yang hadir secara semulajadi.
Karisma. Satu ciri perwatakan yang bagi saya, hampir pupus dalam bola sepak Malaysia. Tak perlu gaya, rupa mahupun gerak geri. Satu perkataan ini, cukup untuk mana-mana pemain, menjadi watak unggul dalam sukan yang saya cintai ini.
Shukor, aku puji lebih-lebih pun, bukan aku dapat apa. Tapi tolong share sikit, mana nak cari karisma ni?
Must-Watch Video