Skip to main content

Rencana

Layakkah Roman bertemu Lesnar di Wrestlemania?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wwe-270218-1.jpg
Sudah terang lagi bersuluh. Roman Reigns akan mengepalai acara Wrestlemania buat kali keempat berturut-turut apabila muncul sebagai pemenang perlawanan Elimination Chamber semalam.
 
Walaupun pada awalnya, para peminat kelihatan teruja apabila Braun Strowman dilihat berpotensi untuk menang dengan berjaya menyingkirkan lima penggusti lain iaitu The Miz, Elias, John Cena, Seth Rollins dan Finn Balor, namun The Big Dog akhirnya muncul sebagai wira apabila berjaya menumbangkan Strowman yang telah kehilangan banyak kudrat dan keringat sepanjang perlawanan berlangsung.
 

 
Seperti biasa, kemenangan Roman akan mengundang reaksi yang pelbagai. Buat para peminat The Big Dog terutama kanak-kanak dan wanita, Roman sememangnya wajar diangkat sebagai juara kerana keterampilan fizikal dan wajah yang mampu menggetarkan naluri setiap yang memandang.
 
Namun buat para peminat kasual, kemenangan demi kemenangan Roman dianggap terlalu mudah dijangka dan bintang muda berusia 32 tahun ini dilihat belum mampu untuk menyambut baton sebagai bintang utama dan hero suka ramai untuk generasi seterusnya.
 
Kemenangan Roman semalam juga menerima maklumbalas yang lebih kurang sama. Kebanyakan peminat beranggapan yang Roman sepatutnya memberi laluan kepada Strowman yang telah bertungkus lumus sejak awal. Namun setelah mendengar nama Roman diumum sebagai pemenang, maka tidak syak lagi bahawa perancangan untuk mempertemukan Roman dan Brock Lesnar akan menjadi realiti setelah spekulasi tentangnya telah tertular sejak beberapa bulan lalu.
 
Kalau dilihat kepada senarai bintang utama Raw sedia ada waktu ini, secara teknikalnya dapatlah kita simpulkan yang tiada siapa yang lebih layak untuk mendepani Lesnar di Wrestlemania selain Roman Reigns. Satu hakikat yang perlu kita telan walaupun pahit. Cuba kita senaraikan satu persatu: Seth Rollins, Finn Balor, Braun Strowman, Kane, Elias, atau John Cena. Jika salah seorang daripada mereka ini yang terpilih sebagai lawan Lesnar, ia tetap tidak akan menyamai tarikan pertemuan dengan Roman.
 
Bukan hendak menafikan kehebatan bintang lain. Semuanya mempunyai kelebihan tersendiri dan boleh menjadi pencabar yang hebat. Namun siri pertemuan Lesnar dengan beberapa bintang di pelbagai acara tahun lalu, sudah cukup untuk kita menelah keputusan perlawanannya. Samoa Joe dan Braun Strowman antara dua bintang yang dikatakan mampu memberi saingan sengit pun, akhirnya kecundang hasil gerakan F5 oleh Lesnar.
 

 
Finn Balor dan Seth Rollins pula berada dalam kelompok penggusti bersaiz sederhana yang juga agak sukar jika berdepan secara satu lawan satu dengan The Beast, walaupun kita tidak menafikan keupayaan atletik mereka. Lihat apa yang berlaku kepada AJ Styles di acara Survivor Series tahun lalu. Seorang bintang yang dinobat sebagai Penggusti Terbaik 2017 oleh Pro Wrestling Illustrated juga tidak mampu untuk menundukkan Lesnar atas faktor kelebihan fizikal bintang bekas Juara Heavyweight Dunia UFC itu.
 
Jadi, siapa lagi yang tinggal untuk mengisi kekosongan kerusi calon pencabar utama selain Roman. Jika kita analisa statistik fizikal kedua bintang ini, tidak banyak perbezaan yang dapat kita lihat. Brock Lesnar berketinggian 6 kaki 3 inci dengan berat 286 paun. Manakala Roman pula mempunyai ketinggian yang sama dengan Brock iaitu 6 kaki 3 inci dengan sedikit kekurangan pada berat iaitu 265 paun. Bukaan saiz dada Brock pula adalah 54 inci berbanding Roman dengan 50 inci. Ukur lilit bisep di lengan pula menunjukkan angka 20 inci buat Brock dan Roman kurang dua inci daripadanya.
 

 
Ia sekaligus menunjukkan yang tiada kelebihan fizikal yang ketara antara dua jaguh ini dan pertembungan mereka pasti menjanjikan saingan yang sengit.
 
Pertembungan antara Roman dan Lesnar ini sekaligus dapat menyelesaikan sengketa mereka yang tergantung tiada berpenamat ketika acara Wrestlemania 31 pada tahun 2015 yang lalu. Dapat kita saksikan bagaimana Roman yang masih hijau pada ketika itu, dapat memberikan saingan yang sengit kepada Lesnar dan nyaris-nyaris berjaya merampas Kejuaraan Heavyweight Dunia WWE. Sayang sekali apabila Seth Rollins muncul menuntut hak sebagai pemenang beg bimbit Money In The Bank dan berjaya bergelar juara, sekaligus meranapkan impian The Big Dog untuk menjadi antara bintang yang berjaya menewaskan Lesnar.
 


Selepas perlawanan tersebut, Lesnar dan Roman dilihat ‘tiada jodoh’ apabila masing-masing membawa haluan sendiri dengan kewujudan sengketa dengan individu lain. Kini selepas tiga tahun, peluang muncul kembali untuk Roman membalas keaiban yang diterimanya tiga tahun lalu.
 
Tiga tahun bukan satu tempoh yang singkat. Roman sendiri pada hari ini telah banyak peningkatan berbanding Roman versi 2015. Sebagai seorang bintang powerhouse, banyak gerakan-gerakan baharu yang digunakannya dan tidak hanya bergantung harap kepada gerakan penyudah tumbukan layang Superman dan rempuhan bahu. Bukan itu sahaja, berapa ramai bintang lama dan baharu yang berjaya ditumbangkannya seperti John Cena dan Undertaker. Pada hemat penulis, ia sudah cukup untuk memberikan kelebihan di dalam resume Roman.
 
Jika ditakdirkan Roman berjaya menumbangkan Lesnar di acara Wrestlemania pada 9 April ini, secara automatik Kejuaraan Universal WWE akan berpindah tangan kepada Roman. Ini merupakan satu indikator yang positif di mana kejuaraan ini dapat dipertandingkan dengan lebih kerap dan tidak hanya muncul di acara-acara eksklusif sahaja bagi memenuhi syarat kontrak istimewa Lesnar yang memerlukannya untuk tampil hanya beberapa kali dalam setahun.
 
Tidaklah para bintang Raw sedia ada ketandusan kejuaraan utama untuk digapai. Jika Lesnar terus-terusan bergelar juara, maka sudah tentu hanya Kejuaraan Antara Benua menjadi hadiah paling berharga, sedangkan kejuaraan utama terus terlilit di pinggang bintang separuh masa.
 
Apa yang penting kini adalah Roman perlu berusaha sedaya upaya untuk meleburkan rekod tanpa kalah Brock Lesnar sejak pertemuan dengan Goldberg tahun lalu. Ketepikan seketika segala kata nista dan cerca peminat. Fokus dan benam Lesnar, kemudian pertandingkan kejuaraan utama ini di siaran TV atau acara PPV seterusnya supaya juara baharu pula boleh diangkat selepas itu.
 
Dengan kepulangan kejuaraan ini kepada bintang sepenuh masa, barulah jenama Raw mempunyai sesuatu untuk dibanggakan saban minggu. Pada hemat penulis, Lesnar sememangnya seorang jaguh yang hebat untuk menaikkan prestij kejuaraan ini. Namun jika terlalu lama dipegang olehnya yang sekejap ada sekejap tiada, maka akan tertutup teruslah peluang untuk individu lain merasa untuk bergelar juara.
 
Penulis percaya, kemenangan Roman ke atas Lesnar walaupun dianggap jenaka oleh sesetengah pihak, namun ia merupakan satu langkah pembuka jalan kepada revolusi juara seterusnya. Tidak mustahil selepas Roman, bintang seperti Strowman, Elias, The Miz, Seth Rollins, Apollo dan ramai lagi akan menerima giliran untuk naik ke takhta tertinggi di Raw.
 

 
Tambah-tambah buat Finn Balor yang merupakan Juara Universal pertama yang tidak tidak pernah diberi peluang untuk memenangi kembali kejuaraan yang terpaksa dilepaskannya itu, akibat dihimpit kecederaan sejak kejuaraan ini diperkenalkan pada dua tahun yang lalu.
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane pada 12 Mac ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro dan Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video