Tirai Liga Malaysia baharu bermula di mana beberapa perlawanan telah berlangsung dengan keputusan yang telah dijangka terutama pertemuan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah di mana penulis menjangkakan kedua-dua pasukan ini akan mengutip satu mata pada perlawanan pembukaan Liga Super 2017.
Sementara itu, perlawanan yang juga menarik perhatian penulis pertemuan di antara Selangor dan Pulau Pinang. Walaupun dengan pelbagai kontroversi yang berlaku dalam pengurusan FAS tetapi pemain-pemain Selangor mampu memberi tumpuan pada perlawanan itu dan akhirnya mencipta kemenangan pertama.
Apa yang kita boleh mengambil pengajaran daripada kedua-dua perlawanan ini yang disiarkan secara langsung ialah tentang sikap dan perwatakan pemain terutama pemain JDT, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Mereka menunjukkan satu kesungguhan yang tidak tahu erti keletihan di mana kita dapat melihat satu permainan pantas dan mengikut falsafah yang diinginkan oleh jurulatih masing.
Sekali lagi kita juga dapat melihat bagaimana kekuatan fizikal memainkan peranan walaupun ia merupakan perlawanan pertama.
Sekiranya perancangan yang dilakukan dengan baik melalui program-program yang disusun oleh jurulatih semasa "pra-musim" ia akan membawa kebaikan kepada pasukan.
Kepada pemain-pemain professional dalam Liga Bola Sepak Malaysia perlu mengambil peluang dan gunakannya sebaik mungkin ilmu yang diterima untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing demi meningkatkan martabat bola sepak negara.
Tahniah kepada pasukan Kedah yang menjulang Piala Sumbangsih sementara kepada pasukan-pasukan yang masih belum mengutip mata pada perlawanan pertama teruslah berusaha untuk mencipta kemenangan supaya dapat memberikan saingan dan tekanan kepada pasukan-pasukan pilihan selain itu ia dapat membantu meningkatkan mutu Liga Malaysia 2017.