Skip to main content

Rencana

Kuda tua ada faedah

safiq-rahim-310517.jpg
Pertikaian pemilihan pemain-pemain kebangsaan untuk memghadapi kelayakan Piala Asia terus diperkatakan. 

Baik dalam kalangan bekas pemimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun bekas pemain negara sendiri, mereka menyatakan separuh pemain yang dipanggil merupakan pemain berumur atau lebih tepat dipanggil “kuda tua”.

Memang benar apa yang mereka katakan, namun di sini apa yang penulis lihat ialah dari sudut yang berbeza, iaitu dari sudut perancangan pengurusan pasukan. 

Ia merupakan satu perancangan yang bijak daripada pasukan kejurulatihan dan FAM apabila memanggil pemain-pemain berpengalaman ini.

Kita perlu ingat bahawa dua pertandingan besar akan berlaku dalam masa yang sama, iaitu kelayakan Piala Asia dan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan ini memerlukan perancangan terbaik.

Ini yang dikatakan penulis di mana pengurusan kejurulatihan skuad kebangsaan dan FAM telah memikirkan bagaimana untuk memastikan ia dapat memberi keadilan kepada pengendali skuad Sukan SEA 2017. 

Dengan perancangan pendek dan panjang yang telah mereka fikirkan ini, ia akan membawa kepada kebaikan di mana kedua-kedua pertandingan ini amat penting kepada FAM.

Kalau kita perhatikan, hanya dalam masa tiga minggu, jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada, perlu mempersiapkan pasukan negara untuk menghadapi perlawanan pertama. 

Apakah cukup untuk mempersiapkan sesebuah pasukan yang mantap sekiranya tidak memanggil pemain-pemain yang mempunyai pengalaman untuk menghadapi pertandingan besar selain harapan tinggi daripada peminat?

 Sudah tentu tekanan dan harapan itu mampu dipikul oleh pemain-pemain yang mempunyai pengalaman bermain dip eringkat antarabangsa dan mampu mengikut falsafah permainan yang akan diterapkan  Vingada.

Sebab itu dia memerlukan seorang pembantu yang sudah memahami budaya dan karakter pemain-pemain dalam Liga Malaysia yang mampu mengikut falsafah yang akan diterapkannya dan atas faktor itulah, Tan Cheng Hoe dipilih untuk bersama-sama Vingada.

Sementara Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Ogos juga penting kepada FAM, sudah tentulah ibu segala pingat emas ini menjadi harapan kepada pencinta bola sepak dan kerajaan. 

Memandangkan skuad Sukan SEA ini perlu menyenaraikan pemain-pemain bawah 23 tahun dan atas faktor ini juga, Vingada dan pengurusan serta FAM membuat satu keputusan yang bijak untuk membahagi-bahagikan tugasan pemain-pemain ini dengan adil kerana mereka perlu memikirkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee juga.

Selamat maju jaya penulis ucapkan kepada skuad Vingada dan Kim Swee dalam menghadapi cabaran ini dan selamat menjalani ibadah puasa kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada pencinta bola sepak Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video