Skip to main content

Rencana

Korang bising sangat, okey aku bersara!

ozil_1.jpg
Kenyataan terbaru Mesut Ozil menerusi laman Twitter peribadinya mengatakan bahawa dia tidak lagi akan menyarung jersi pasukan Jerman.  Perkembangan ini ternyata mengejutkan memandangkan dia baru berusia 29 tahun dan masih mampu beraksi di peringkat antarabangsa. Apa yang membuatkan dia mengambil keputusan sebegitu?
 
Mengikut apa yang Dayang baca di media sosial, tindakan bersara itu dilakukan oleh Ozil apabila merasakan dirinya tidak dibela oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) ketika dikritik tidak setia kepada negara Jerman. Ini adalah susulan gambarnya bersama pemimpin nombor satu Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang dimuat naik oleh Ozil sendiri.
 
Ozil dikatakan kecewa apabila dirinya tidak dibela DFB kerana ianya seolah-olah bersetuju dengan segala kritikan ke atas dirinya. Malah, dia turut menjadi kambing hitam apabila dituduh menjadi punca kegagalan Jerman di Piala Dunia.
 
Dayang mempunyai beberapa pandangan peribadi dalam hal ini. Pertama, kesetiaan Ozil kepada Jerman sepatutnya tidak boleh dipertikaikan. Lihat sahaja sumbangannya selama beberapa tahun yang lalu,seperti kejayaan merangkul Piala Dunia 2014, apa lagi yang tidak cukup? Tidak cukup setiakah dia? Sepatutnya hal kesetiaan tidak perlu dibangkitkan.
 
Kedua, namanya sahaja pun sudah berbunyi "Turki", Mesut Ozil. Wajahnya juga tidak seperti orang Jerman, malahan dia sendiri terang-terangan berkongsi dengan orang ramai akan salah silah keluarganya yang berasal dari Turki dan kini bercampur Jerman.  Jadi, adakah dengan bertemu pemimpin Turki menjadikan dirinya tidak cukup setia?
 
Dayang percaya jauh di sudut hati Ozil, dia masih mahu berkhidmat buat skuad Jerman tetapi dalam masa sama, dirinya pasti terkesan akan segala tuduhan yang dilemparkan. Malah, dia turut dikritik oleh orang nombor satu DFB, Richard Grindel (presiden) yang tidak mahu membela Ozil, selain tidak mengendahkan padangan pemain Arsenal itu.

Tidak mengapalah Ozil, andai ini takdirnya, terima sahajalah. Masih ramai peminat diluar sana yang menyokong dan menerima kehadiran anda. Jika orang sudah mahu, takkan kita nak terhegeh-hegeh pula kan. Bersara sajalah, biar mereka puas hati!

Advertisement

Must Watch Video