Petang Ahad, 19 Februari 2017, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berjalan kaki ke Stadium Hoki Kuala Lumpur yang terletak kira-kira 200 meter dari hotel penginapannya.
Kadang-kala beliau tersadung batu kecil kerana sibuk memikirkan soal set piece pukulan sudut penalti.
Muhammad Razie Abd Rahim tidak begitu tajam selepas tamat kursus latihan asas inspektor polis, Muhammad Noor Faeez Ibrahim pula tidak begitu konsisten dalam perlawanan penting.
Antara kedua-dua pakar pukulan sudut penalti itu, Harun lebih gemar menggunakan khidmat Razie yang terkenal dengan tolakan kencang dan tepat mencari rakan sepasukan untuk membuat lantunan.
"Saya tahu set piece pukulan sudut penalti akan jadi penentu tapi soalnya, bila boleh dikeluarkan? KLHC hanya buat persiapan ringkas kerana lebih yakin dengan tolakan terus.
"Apabila pengadil menghadiahkan pukulan sudut penalti 2 saat sebelum siren penamat, kami mempunyai dua pilihan. Saya panggil Razie dan berbincang.
"Pada awalnya, saya mahu dia buat tolakan terus tapi dia mencadangkan gerakan set piece. Ia tindakan berisiko kerana jika gagal, THT (Terengganu Hockey Team) akan menjuarai liga. Tapi kami nekad, ia gerakan set piece," kata Harun.
Saya memerhati dari jauh.
Ada dua bateri dipasang. Faeez di bateri pertama, Razie di bateri kedua.
Ia situasi yang ganjil dan terlintas, ia akan jadi gerakan set piece yang tidak pernah digunakan sebelum ini.
Penolak, Muhammad Umar Bhutta menolak kencang ke arah Razie yang kemudiannya masuk dua tapak ke dalam kawasan D.
Saya fikir dia akan melakukan tolakan terus, namun pada saat akhir melakukan tolakan leret, bola menuju pantas ke arah penyerang, Anton Ebeling...sekelip mata...golllllll.
Penjaga gol THT, Mohd Hafizuddin Othman tertewas dan sejurus kemudian, siren penamat dibunyikan. Stadium Hoki Kuala Lumpur, gelanggang keramat KLHC kian bergemuruh meraikan kejayaan sensasi itu.
Kepuasan tidak terhingga di wajah setiap pemain KLHC, mereka menunggu sejak 2014 dan akhirnya kejayaan ini tiba.
"Sukarnya untuk menumbangkan THT. Kami sudah melakukan pelbagai cara sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berjaya.
"Kelab kami tidak begitu mewah tapi apa yang lebih penting, semua yang ada dalam pasukan ini tahu bahawa kami mampu menjuarai liga. Mujur, masih ada set piece pada saat akhir," kata Harun.
KLHC mengukuhkan semula reputasi mereka sebagai kelab paling berjaya dalam Liga Hoki Malaysia dengan sembilan kejuaraan liga (termasuk ketika dikenali sebagai Ernst & Young).
Gergasi sudah bangkit, selepas ini Piala TNB!