Skip to main content

Rencana

Kini kejayaan di dalam "poket" Azizulhasni

azizulhasni_1.jpg
Kejayaan Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia dalam acara keirin, malam tadi, memberikan suntikan buat semua rakyat Malaysia bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan dilihat sebagai penunjang misi memburu pingat emas pertama negara di temasya itu.

Ternyata, kalungan pingat gangsa anak kelahiran Terengganu ini di Rio 2016 bukanlah satu kemenangan yang dianggap sebagai bernasib baik. 

Azizulhasni membuktikan prestasi yang konsisten untuk diangkat sebagai juara dunia dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di bumi Hong Kong.

Angan-angan sebelum ini menjadi nyata dan sejarah baru telah dilakar oleh insan hebat yang menyarung jersi pelangi buruan pelumba. 

Sebelumnya, dia hanya berjaya memperoleh pingat perak pada 2010 di Denmark selain memenangi pingat gangsa, dua kali -- di Perancis pada 2015 dan 2016 di United Kingdom dalam acara keirin.

Kemenangan Azizulhasni ini membuktikan kepada setiap atlet Malaysia bahawa kelebihan fizikal yang dimiliki oleh atlet-atlet luar negara bukan lagi satu alasan untuk berada di puncak kebanggaan.

"The successful warrior is the average man with laser-like focus." -- Bruce Lee

Pengalamannya selama 10 tahun memburu gelaran juara dunia dijadikan sebagai bekalan untuk memenangi perlumbaan ini. 

Pada pusingan terakhir, Azizulhasni meninggalkan Fabian Hernando Puerta Zapata dari Colombia dengan (+0.382 saat) manakala pelumba di ranking nombor satu dunia, Tomas Babek dari Republik Czech menamatkan saingan di tangga ketiga (+0.417 saat).

Ternyata kejayaan ini sesuatu yang boleh dimegahkan!

Walaupun saingan kali ini tidak dibarisi oleh pemenang pingat emas dan perak di Sukan Olimpik, Jason Kenny [Britain] dan  Matthijs Buchli [Belanda], impak yang diberikan oleh The Pocket Rocketman bakal menghantui hari mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Walaupun masih terlalu awal untuk berbicara mengenai harapan Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Azizulhasni kini berada di petak pertama sebagai pengganti pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, bagi merangkul impian yang didambakan sejak sekian lama. Kedahagaan emas bagi Malaysia tidak lagi dilihat mustahil.

Kayuh Jijoe Kayuh!!

Advertisement

Must Watch Video