Skip to main content

Rencana

Khairul patut pergi Olimpik

100616-khairul-hafiz-jantan.jpg
Kecoh satu Malaysia apabila Khairul Hafiz Jantan, pelari kelahiran Melaka berusia 18 tahun berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m milik legenda, Watson Nyambek.

Catatan 10.18s jauh mengatasi rekod lama 10.30s dilakukan pada 1998.

Saya terus menyemak had kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 dan ternyata, Khairul hanya ketinggalan 0.02 saat untuk layak secara merit.

Sayangnya, catatan itu dilakukan selepas tarikh tutup kelayakan acara olahraga iaitu 11 Julai lalu.

Tiket wildcard pula dihadiahkan kepada ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli berdasarkan peraturan di mana keistimewaan itu diberikan kepada negara yang sudah mempunyai wakil jantina lain yang sudah layak.

"Laju betul budak tu. Berdesup perginya. Dia ada masa depan cerah, mungkin boleh layak ke Tokyo 2020," kata seorang peminat olahraga.

Saya menyemak lagi.

Ternyata, Khairul lebih pantas berbanding juara Sukan Sea Singapura 2015, Eric Shauwn Cray dari Filipina.

Cray melakukan 10.25s yang juga rekod kebangsaan Filipina, tapi jauh ketinggalan dibelakang Khairul.

Malah, Khairul hanya ketinggalan 0.01s untuk menyamai rekod Sukan Sea milik Suryo Agung Wibowo dari Indonesia yang dilakukan pada Sukan Sea Laos 2009.

Tahniah Khairul, rakan sepelatih, Badrul Hisham Abd Manap dan jurulatih, Mohd Poad Kassim kerana mereka ramuan utama kejayaan ini.

Mereka sudah cipta banyak sensasi.

Juara Sukan Sekolah-Sekolah Asean, Juara Kejohanan Olahraga Remaja Asia, separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia dan rekod baru kebangsaan.

Dua tiga langkah sudah diambil, beribu lagi langkah untuk menjuarai Sukan Sea Kuala Lumpur 2017,  Komanwel, Asia dan Olimpik.

Hebat orang Melaka!


Advertisement

Must Watch Video