Skip to main content

Rencana

Keropok lekor Azizul

1_19.jpg
"Seminggu di Kuala Lumpur, apapun saya tak sempat buat. Hanya menghadiri majlis, berlatih dan berkayuh di Velodrom Nilai. Hajat nak makan keropok lekor pun tak sempat."

Itulah cabaran Azizulhasni Awang, juara keirin dunia yang baru menamatkan cabaran Kejohanan Trek Asia di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan dengan 1 perak (pecut) dan 1 gangsa (keirin).

Pulang ke tanah air sendiri tetapi dirinya milik negara.

Jadual padat sejak minggu lalu sebelum dia dan pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berangkat ke Apeldoorn, Belanda untuk mencabar Kejohanan Dunia. Azizul akan mempertahankan gelaran dunia acara keirin.

Saya tidak membuat liputan di Nilai ekoran masalah kesihatan tetapi sempat menyaksikan kayuhan The Pocketrocketman.

Setiap kali dia berada di trek, sorakan pasti bergema. Peminat tahu bahawa Azizul akan meraih sesuatu kerana dia ialah Azizul.

Tetapi saya perhatikan sejak sesi pemanas badan lagi, kakinya ligat berkayuh.

Ketika dia beraksi dalam final terutama pecut, saya lihat frekuensi kayuhannya tinggi pada 200m terakhir namun tetap dipintas pelumba Jepun, Kazunari Watanabe pada hujung perlumbaan.

Saya fikir, Azizul menggunakan gear ringan ketika final pecut - tidak setaraf pemilihan gear Watanabe.

"Ini rahsia dan taktikal pasukan. Azizul tahu apa yang dia lakukan," kata salah seorang jurulatih skuad negara.

Beberapa jam sebelum berangkat ke Apeldoorn, Azizul sempat memuatnaik status di laman sosial.

"Sudah lebih sepuluh tahun saya berusaha untuk memecahkan bawah 10 saat acara 200m pecut ini di paras laut. Sebagai rekod, saya pernah merekodkan bawah 10 saat tetapi di altitud tinggi (Aguascalientes, Mexico) pada tahun 2013 dengan catatan 9.854s. 

"Catatan rekod baru 9.774s kali ini sekali gus memadam rekod peribadi saya, rekod kebangsaan dan rekod Asia untuk paras laut. Sungguh saya dan jurulatih tidak menyangka ianya akan datang seawal ini dan menariknya kami "masih ada banyak senjata rahsia sebelum ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti".

Saya yakin, senjata rahsia itu akan dikeluarkan di Apeldoorn kerana berdasarkan prestasi dan fizikal terkini, dia mampu menggunakan gear lebih berat untuk beri lebih banyak momentum pecutan.

Kami juga sempat bersembang: "Semua dalam keadaan terbaik. Saya yakin untuk mempertahankan gelaran dunia. Cuma kepulangan kali ini terlalu sibuk. Ada pihak minta saya pulang ke Terengganu pagi ini tapi masa terlalu suntuk kerana penerbangan saya sebelah malam.

"Jika sempat, boleh juga makan keropok lekor...lama dah tak merasa," seloroh Azizul.

Saya doakan dia dan Shah Firdaus akan membanggakan Malaysia di Apeldoorn. Apatah lagi juara Sukan Olimpik Rio 2016, Jason Kenny dari Great Britain tidak beraksi dalam keirin atau pecut selepas berehat panjang. 
 

Advertisement

Must Watch Video