Memenangi Liga Europa (UEL) sangat penting buat Manchester United kerana masih belum pernah meraihnya, sekaligus menjadi salah satu laluan mereka untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL) musim hadapan.
Selepas menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A, United bakal bertemu kelab Ligue 1, Saint-Etienne, bagi aksi play-off.
Walaupun persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin rancak, hanya empat mata membezakan United dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua.
Lantaran itu, memenangi UEL masih dilihat sebagai langkah yang realistik bagi mereka untuk bersaing dalam UCL buat musim 2017-18.
Bagaimanapun, cabaran sukar tetap menanti mereka dan pengurus, Jose Mourinho, meluahkan perasaannya mengenai kesukaran yang bakal ditempuh The Red Devils.
"Kami tidak mahu beraksi dalam UEL, ia menjejaskan masa pemulihan dan persiapan pemain bagi menghadapi perlawanan liga selang dua hari kemudian. Tetapi kami perlu memenanginya," kata Mourinho.
Musim lalu, Liverpool hampir dihadiahkan tiket untuk beraksi dalam UCL apabila meloloskan diri ke final, namun dikecewakan oleh penyandang juara, Sevilla, di Basel.
Antara lapan pasukan yang tersingkir daripada UCL, Tottenham Hotspur bakal menjadi halangan terbesar United jika mereka melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Begitupun, selepas tewas kepada Liverpool 2-0, ternyata anak buah Mauricio Pochettino akan cuba memperbaiki rentak permainan untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua sehingga tamat musim 2016-17.
Jadual padat menanti United, bermula dengan aksi UEL, perlawanan pusingan kalah mati Piala FA bertemu Blackburn dan pertembungan final Piala EFL berdepan Southampton bakal menguji ketahanan fizikal dan mental anak buah Mourinho.