Skip to main content

Rencana

Kenapa asyik Balotelli

balotelli-must-remain-serious,-says-favre.jpg
Sampai bila isu perkauman akan membelenggu dunia sukan? Persoalan yang sebenarnya masih belum terjawab, walaupun kita dikatakan berada dalam dunia serba moden dan memiliki mentaliti kelas A.

Sukan popular seperti bola sepak juga tidak lari daripada terbabit dalam isu perkauman. Bintang Itali, Mario Balotelli yang cemerlang di Ligue 1 menerusi 28 gol daripada 40 penampilan sehingga Januari 2018, antara pemain yang kerap kali menjadi mangsa.

Apa yang berlaku ketika pasukannya, Nice tewas kepada Dijon bukan kisah pertama yang terlayar. Ejekan "monyet" kembali dimomokkan kepada pemain berusia 27 tahun ini.

Cuma kali ini, Balotelli turut menerima hadiah kad kuning selepas cuba memberi amaran kepada kumpulan penyokong lawan itu.

Kekerapan ia berlaku bagaimanapun telah menimbulkan persoalan, apakah ia serangan berbentuk perkauman atau Balotelli sememangnya tidak disenangi pengikut bola sepak dunia? 

Sebelum beraksi bersama Nice pada 2016, Balotelli terkenal dengan masalah displin. Semua sedia maklum, Balotelli tidak sehaluan dengan Jose Mourinho di Inter Milan sehingga mengambil keputusan untuk mengikut bekas pengendali, Roberto Mancini ke Manchester City.

Pada 2012, Mancini pernah berkata jika Balotelli tidak menjadi pemain terbaik Eropah, ia adalah salahnya sendiri kerana secara keseluruhannya Balotelli memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan pasukan hebat.

Menginjak waktu, masih cerita-cerita kontroversi Balotelli lebih diberikan perhatian oleh media, berbanding perkembangan kerjayanya.

Antara laporan yang akan terus diingati adalah dari kem kebangsaan Itali, Balotelli membaling dart kepada pemain remaja yang kononnya sebagai satu "prank". Tidak kurang juga isu perangai "diva" Balotelli yang dimainkan media Inggeris.

Ada di antara rakan sepasukan di Etihad yang tidak sebulu dan kurang menyenangi sikap Balotelli. Malahan dia turut menjadi bahan jenaka kawan-kawan, termasuk Edin Dzeko yang mempersenda perbuatannya meminta pegawai pembantu menyarungkan bib ketika sesi memanaskan badan sebelum pertemuan dengan Chelsea pada 2011.

Sebelum melangkah ke tahun 2015 pula, Balotelli pernah dikecam mengutuk Yahudi menerusi karektor permainan video, Super Mario yang dimuatnaik di instagram. Ironinya, ia bagi kempen anti-perkauman yang cuba diperjuangkannya.

Kini, selepas 2 tahun berada di Perancis, Suruhanjaya Disiplin Liga Perancis akan sekali lagi bermesyuarat untuk menyelesaikan insiden ini. Apakah Dijon akan mengalami nasib yang sama dengan Bastia yang menerima pemotongan mata musim lalu?

Sedalam mana kebencian kepada seseorang individu itu, ia masih belum memberikan kita kuasa untuk menyerangnya melalui asal usul mahu pun bentuk fizikalnya.

Dalam kes membabitkan Balotelli yang mempunyai ibu bapa berasal dari Ghana pula, sama ada menjadi mangsa perkauman atau tidak, Balotelli perlu sedar dia tetap berada di pihak yang rugi dengan terus bersikap memberontak. Sebaliknya tampilkan kualiti yang mampu membuat mereka lupa untuk bertanya kamu dari mana.

Advertisement

Must Watch Video