Skip to main content

Rencana

Kemboja pun Kemboja la

melakaunitedc9b44d083d81604aa734ff0000212b38.jpg

Juara Liga Perdana 2016, Melaka ternyata serius untuk menghadapi saingan Liga Super musim ini yang juga cabaran baru buat mereka apabila berguru selama 8 hari di bumi Kemboja dari 3 hingga 10 Januari.

Mungkin, ramai yang skeptikal terhadap pemilihan destinasi pra-musim Melaka di Kemboja memandangkan negara ini bukanlah kuasa bola sepak di Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam yang dianggap lebih sesuai dijadikan medan menguji kekuatan pemain.

Namun, pasukan seperti Melaka, ia dilihat pemilihan destinasi yang tepat. Di bawah bimbingan pengendali baru Eric Williams, skuad Melaka merekrut 19 pemain baru selepas mengekalkan 9 pemain lama antaranya kapten Ilija Spasojevic, Ahmad Khuzaimi Piee, R. Surendran dan Nurshamil Abd Ghani.

Manakala, Amri Yahyah, Fauzi Roslan, Faizal Muhammad dan Khairu Azrin Khazali (Acong) antara pemain baru ternama yang memperkuatkan skuad Hang Tuah musim ini.

Berwajah baru, para pemain sudah pasti memerlukan masa untuk memupuk semangat berpasukan, membentuk keserasian mantap dan paling utama adalah memahami falsafah bola sepak pengendali dari England itu.

Bayangkan pasukan ini berdepan dengan kelab-kelab di Thailand untuk aksi pra-musim ketika mereka masih dalam pembentukan skuad yang mantap, penulis percaya lebih banyak perkara negatif berbanding positif.

Lihat pasukan di Eropah terutama kelab Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United atau Liverpool, benua Asia menjadi destinasi pilihan aksi pra-musim mereka walaupun aspek pemasaran menjadi agenda utama pasukan berkenaan.

Disimpul mudah, aksi pra-musim perlu mengikut kesesuaian keadaan pasukan terbabit. Namun, Eric Williams kurang bernasib baik apabila kunjungan ke Phnom Penh diselubungi dengan isu kecederaan dan masalah kesihatan para pemain.

Ia sekaligus merencatkan perancangan awal bekas pengendali Yangon United itu untuk menguji semua pemain dalam usahanya mencanang kesebelasan terbaik menjelang saingan Liga Super hujung bulan ini.

Skuad Melaka bermula langkah kiri di Kemboja susulan tewas 1-3 kepada Army FC dalam pertemuan di Stadium Olimpik, Khamis lalu dan mereka seterusnya dijadual menentang Police FC pada Ahad dan juara liga Kemboja, Boeung Ket Angkor FC pada hari berikutnya.

Gegau Melaka gegau!

Advertisement

Must Watch Video