Skip to main content

Rencana

Kembalinya City Boys ke Liga Super

7817klpknp.jpg
Kejayaan Kuala Lumpur kembali di kalangan pasukan elit Liga M dalam saingan Liga Super musim depan sudah pasti menghangatkan lagi aksi musim depan.

Selama lima tahun, Kuala Lumpur gagal berada di kalangan pasukan terbaik malah pernah jatuh ke saingan Liga FAM pada musim 2014.

Pujian buat pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pimpinan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan serta barisan kejurulatihan yang diketuai pengendali dari Brazil, Fabio Maciel atas kejayaan membawa Kuala Lumpur ke Liga Super.

Namun, kejayaan tidak harus terhenti di sini kerana usaha berterusan kini diperlukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kuala Lumpur seperti era 80 hingga 90an.

Ketika itu, KLFA pimpinan Tan Sri Elyas Omar bukan saja meraih kejuaraan hatrik Piala Malaysia (1987-89) tetapi juga program pembangunan belia yang berkesan.

Azman Adnan, Azrul Amri Burhan, Shahrin Majid dan Safee Sali adalah antara pemain yang pernah dihasilkan Kuala Lumpur satu ketika dulu.

KLFA pimpinan Adnan kini, perlu juga merangka perancangan jangka panjang jika benar mahu mengembalikan kegemilangan Kuala Lumpur.

Berlandaskan pemerhatian penulis, skuad utama Kuala Lumpur kini berada dalam tangan baik di bawah Maciel dengan Rusdi Suparman sebagai penolongnya.

Kedua-dua jurulatih itu tampak bergandingan baik mengendali skuad utama dan pihak pengurusan KLFA kini hanya perlu memberi sokongan buat mereka dalam usaha memantapkan lagi pasukan musim depan.

Daripada segi barisan pemain, mereka mempunyai barisan seimbang di kalangan tonggak import dan tempatan.

Guilherme de Paula tampak menjadi mesin pencetak gol skuad Warga Kota musim ini dan dia dijangka mampu menyinar di Liga Super berlandaskan kejayaan muncul juara Piala Malaysia dengan Selangor pada 2015.

Di kalangan pemain tempatan, Irfan Zakaria yang menjadi tonggak benteng skuad bawah 22 tahun negara di Sukan Sea lalu cukup tenang di bahagian tengah, manakala pemain lain seperti Ashri Chuchu dan Azmer Yusof turut konsisten sepanjang musim.

Kerana itu, penulis berasa kini adalah waktu baik buat skuad warga kota kembali ke kelompok elit bola sepak tempatan.

Namun, KLFA masih perlu menguatkan barisan dengan sekurang-kurangnya lima atau enam pemain berpengalaman di saingan Liga Super musim depan.

Penulis berharap pucuk pimpinan KLFA tidak hanya berpuas hati dengan kejayaan yang diraih setakat ini.

Selain memantapkan pasukan, KLFA juga perlu memastikan mereka mampu lulus syarat pelesenan kelab yang ditekankan FAM dan juga badan pentadbir liga FMLLP musim depan.

Selaku pasukan warga kota, mereka perlu mempunyai perancangan pemasaran berkesan, pengurusan penyokong yang lebih tersusun dan juga perancangan perniagaan berkesan.

KLFA sebenarnya sudah pun memiliki Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur serta Akedami Bola Sepak Kuala Lumpur.

Justeru, pengurusan KLFA hanya perlu memastikan stadium tersebut yang kini sedang dalam proses akhir baik pulih mampu digunakan musim depan.

Jika segala syarat pelesenan kelab mampu dilepasi, tidak mustahil Kuala Lumpur akan kembali mempunyai penyokong ramai seperti era 80 hingga 90 an.

Advertisement

Must Watch Video