Skip to main content

Rencana

Kelantan dan DNA bola sepak

kelantan.jpg
 Bola sepak Kelantan punya keunikan tersendiri.
 

Sejak membuat kemunculan pertama dalam kancah Liga Super 10 tahun lepas, masalah kewangan merentap kembali The Red Warriors (TRW) ke lembah Liga Perdana pada musim depan. 

TRW pernah mencetuskan tsunami bola sepak Malaysia ketika berwajah baru sedekad yang lalu. 

Pada zaman kemuncaknya, mereka menerima kunjungan ramai peminat luar negara yang semata-mata mahu merasai gelombang TRW di Stadium Sultan Muhammad IV yang sesak.

Selepas hampir 10 tahun meniti kegemilangan dan bergelumang dengan cabaran di peringkat elit tempatan, termasuk bergelar juara 'treble' pada 2012, Kelantan harus akur mereka tidak cukup ampuh untuk bersaing di pentas Liga Super musim ini. 

Rombakan besar-besaran dengan menurunkan barisan muda pada awal saingan tidak cukup untuk pasukan itu kekal berdaya saing. 

Mungkin ada rahmat di sebalik penyingkiran ini untuk Kelantan bangkit dan mengatur struktur yang lebih baik. 

Kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia menerusi bakat muda tempatan berjaya membuka mata bahawa masih ada sinar di hujung terowong. 

Kelantan mempunyai DNA tersendiri sebagai pasukan yang banyak melahirkan pemain bermutu, mereka antara pasukan yang mempunyai aliran pemain muda yang terbaik menerusi pencapaian Piala Presiden dan Piala Belia. 

Sehubungan itu, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang diterajui presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, perlu segera menetapkan hala tuju yang lebih jelas buat pasukan itu, termasuk pemain import dan pembangunan bakat muda. 

Tetapi, sebelum itu, mereka perlu mengelak daripada terjerat dengan pendekatan musim ini menerusi pelantikan jurulatih sehingga terpaksa menukar falsafah permainan secara drastik ketika musim sedang berjalan. 

Dengan menggunakan formula anak jati, kejayaan akan merangsang semangat kenegerian yang sememangnya tebal dalam kalangan pemain muda. 

Dalam masa sama, soal kewangan akan kembali menjadi persoalan utama. 

Sarat menanggung hutang, kelibat bintang meningkat naik seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shafiq Shaharudin pasti mencetuskan dilema. 

Beberapa tonggak utama terpaksa dilepaskan, antaranya Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohamad Faris Shah Mohd Rosli, pada jendela perpindahan kedua musim ini atas faktor mengimbangi kewangan KAFA. 

Kelibat pemain muda mereka kini menjadi buruan, namun mereka inilah yang boleh menentukan jatuh bangun bola sepak Kelantan sedikit masa lagi. 


 

Advertisement

Must Watch Video