Skip to main content

Advertisement

Rencana

Kejayaan hari ini, derita semalam

150317-chong-wei-zaidatul-husniah.jpg

Dua kejayaan bertaraf dunia menerusi Datuk Lee Chong Wei yang merangkul gelaran keempat Kejohanan Seluruh England dan skuad hoki negara menepati ramalan sebagai pilihan utama dalam kempen pusingan kedua Liga Hoki Dunia, mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

Lebih manis lagi, khabar gembira yang hadir arena olahraga negara menerusi Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nauraj Singh, membuktikan keazaman atlet olahraga negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Keempat-empat kejayaan itu mempunyai cerita tersendiri sebelum masing-masing mengecapi nikmat bergelar jaguh.

Gara-gara kecederaan lutut dan kontroversi luar gelanggang dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, persiapan Chong Wei tampak terganggu apabila hanya dapat mengesahkan penyertaannya di Birmingham sembilan hari sebelum kempen bermula.

Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ia juga merupakan aksi antarabangsa pertamanya tahun ini tetapi jaguh badminton negara itu tetap berupaya menidakkan sebarang keraguan terhadapnya.

Bagi The Malaysian Speedy Hockey Tigers pula, mereka berdepan cabaran tersendiri ekoran kesuntukan masa dalam membuat persiapan selepas mengharungi jadual padat Liga Hoki Malaysia.

040317 hoki liga dunia

Pengendali negara, Stephen Van Huizen, menyuarakan kebimbangan awalnya kerana berdepan tempoh kurang dua minggu sahaja untuk mempersiapkan anak buahnya sebelum berlepas ke Dhaka, Bangladesh.

Ia ibarat skrip yang sudah dipersiapkan andai pasukan bimbingannya kecundang awal.

Begitu pun, ia tidak menghalang untuk mereka bergelar juara.

Di sebalik kejayaan bertaraf antarabangsa itu, kejayaan manis olahraga lebih menarik perhatian saya.

Lebih-lebih lagi menerusi Zaidatul Husniah yang diangkat sebagai ratu pecut negara yang baru, selepas memadamkan rekod 100 meter berusia 24 tahun milik G. Shanti apabila melakukannya dalam Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan, menerusi catatan baru 11.45 saat.

Padahal tujuh bulan lalu, dia terpaksa menghadam segala kritikan hebat ke atasnya gara-gara alasan larian tidak bertenaganya dalam Sukan Olimpik Rio.

Dalam pusingan kelayakan, dia mencatat masa 12.12 saat, kemudian terkandas dalam saringan pusingan pertama apabila sekadar mencatat masa 12.62 saat.

Ketika ditemubual di Brazil, dengan jujur sambil menjawab dengan nada terketar-ketar, dia mengakui teknik lariannya tidak betul di samping ketiadaan jurulatih untuk menegur aksinya di sana.

"Tak akanlah benda asas macam itu pun tak tahu? Buang masa dan duit negara sahajalah." Itu antara kenyataan yang perlu dihadapinya ketika itu.

Untuk atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, dia dalam landasan terbaik mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenanginya dua tahun lalu.

Selepas berani menyuarakan keinginannya untuk beraksi di luar negara, alasannya cukup kukuh apabila memenangi Grand Prix Canberra dengan lompatan setinggi 2.25 meter -- menghampiri rekod kebangsaan miliknya, iaitu 2.29 meter.

Inilah berkat kesabaran dan kekuatan mental mereka sedangkan jauh di sudut hati, siapalah yang tahu.

Lebih-lebih lagi dalam arena teknologi maklumat pada hari ini, sesiapa pun boleh mencemuh, asalkan ada papan kekunci.

Saya harus memberikan kredit kepada mereka kerana berani tampil menyatakan ulasan, baik dalam keadaan positif atau tidak, kerana tanggungjawab kepada negara harus dilunaskan.

Bintang Barcelona, Neymar, adalah contoh terdekat bahawa atlet bertaraf dunia juga mengambil berat kritikan terhadap mereka.

Dia melancarkan peperangan menerusi akaun laman sosial -- Instagram -- peribadinya apabila membidas segala kritikan terhadap peluang Barcelona dalam Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) menerusi kebangkitan luar biasa minggu lalu.

Dalam masa yang sama, segelintir atlet pula cuba mengelak media kerana belum cukup kuat untuk menghadapi beban kritikan seumpama ini.

Ada pula yang takut apa yang dinyatakan memakan diri. Kalau bercakap dalam nada yakin, nanti dikatakan riak pula.

Takut dilabel sombong oleh wartawan, maka ada yang lebih senang memberi jawapan selamat sahaja.

Sedangkan kita sudah maklum, keyakinan amat penting buat seseorang atlet dalam membantu mereka menerbitkan aksi terbaik.

Syabas buat semua atlet kita yang pernah berjuang untuk negara.

Yang penting, berikan aksi terbaik dahulu dan usah cepat terbuai dengan kejayaan silam kerana cabaran masa hadapan lebih penting.

Advertisement

 

Must Watch Video