Skip to main content

Rencana

Kedudukan ketiga milik United?

crystal-palace-manchester-united.jpg
Kedudukan ketiga milik United? Pertanyaan itu mungkin masih awal kerana saingan liga masih berbaki dua perlawanan dan jurang mata juga terlalu dekat buat Chelsea, Leicester City dan Manchester United sendiri.

Tapi percayalah, naluri Dayang merasakan United akan mengakhiri liga di tangga ketiga dan ianya akan ditentukan dalam perlawanan terakhir nanti.

Persembahan cemerlang The Red Devils sejak liga bersambung semula menyaksikan mereka kembali bernyawa untuk kedudukan empat terbaik liga dan terbaru kemenangan ke atas Crystal Palace terus menguatkan azam mereka untuk merebut tempat ketiga. Jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial menyaksikan gandingan dua pemain itu sudah meledakkan 34 gol di saingan liga musim ini.

Ketepikan dahulu saingan separuh akhir Piala FA dan berbalik kepada kedudukan liga, untuk perlawanan ke 37, United akan berdepan West Ham United, Chelsea bertemu Liverpool di Anfield, dan Leicester City akan berentap dengan Totenham Hotspur.

Jika prestasi semasa menjadi ukuran, anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer dijangka tidak berdepan masalah meraih tiga mata, namun Chelsea dan Leicester City mungkin menghadapi sedikit kesukaran memandangkan mereka tidak konsisten selain faktor beraksi di laman lawan. Andai ramalan ini menjadi kenyataan, United berpeluang cerah meraih kedudukan ketiga sebelum perlawanan terakhir liga. Mungkin United sendiri memerlukan sedikit 'pertolongan' dari seteru mereka Liverpool, agar menggagalkan hasrat Chelsea meraih tiga mata di Anfield.

Manakala pada perlawanan ke 38, United akan bertandang ke Stadium King Power, manakala The Blues akan menerima kunjungan Wolverhampton. Jangkaan anda? Dayang merasakan Chelsea tidak berdepan masalah menumbangkan Wolves yang kini sedang mengalami krisis prestasi. Manakala aksi di King Power dijangka akan berlangsung sengit dan menjadi penentu untuk kedudukan ketiga, keempat dan kelima.

Pada Januari di pertengahan liga dahulu, tiada siapa menyangka United mampu kembali bangkit dari prestasi hambar dan meletakkan pasukan di kedudukan sekarang. Malah OGS sendiri bangga dengan aksi anak-anak buahnya yang berpeluang cerah merebut tempat empat teratas liga.

Advertisement

Must Watch Video