Skip to main content

Rencana

Kedah ungguli saingan Liga 2017?

kedah342253083d81604aa734ff0000212b38.bmp

Masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan yang mampu menjulang kejuaraan Liga Super musim ini.

Namun, selepas lima perlawanan, skuad Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe memberi gambaran awal mereka mampu mendominasi saingan musim ini.

Setakat ini, penulis amat tertarik dengan corak permainan Kedah dan keampuhan keseluruhan pasukan itu yang masih belum tewas.

Cheng Hoe tampaknya berjaya memastikan kesinambungan peningkatan pasukannya sejak mengendalikan Kedah pada 2014.

Pada 2014, Kedah sekadar menamatkan saingan di tangga keempat Liga Perdana, mara ke suku akhir  Piala FA dan Piala Malaysia.

Semusim selepas itu, Lang Merah muncul juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia.

Hanya semusim kembali ke Liga Super pada 2016, mereka menamatkan saingan di tempat ketiga dan muncul juara Piala Malaysia.

Corak permainan Kedah yang mengutamakan hantaran pendek, permainan pantas serta kerjasama erat berpasukan membuatkan mereka adalah pasukan yang sentiasa menghiburkan peminat ketika beraksi walaupun dikalangan penyokong pasukan lain.

Cheng Hoe juga berjaya membuktikan, seorang pengendali tempatan juga mampu menyerlah jika diberi kepercayaan pihak pengurusan.

Pengalaman beliau sebagai penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal bersama skuad remaja, Bawah 23 Tahun dan senior kebangsaan selama lebih sedekad tampak membantu membentuk kematangannya sebagai jurulatih.

Apa yang menarik selain faktor Cheng Hoe, skuad Kedah tidak melakukan pelaburan besar berbanding pasukan lain dalam membentuk barisan ampuh.

Sebahagian besar pemain adalah bekas pemain Harimau Muda yang berasal dari Kedah serta pemain dari skuad Piala Presiden seperti Farhan Roslan.

Pemain muda lain seperti Amirul Hisham Awang Kecik dan Halim Saari juga tampak semakin matang musim ini disamping kapten pasukan dan tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar yang cemerlang dengan empat gol musim ini.

Kedah juga menguatkan barisan awang import mereka dengan kembalinya Sandro da Silva di bahagian tengah, pertahanan dari Australia, Zachary Anderson serta bekas penyerang  Bundesliga, Ken Ilso.

Liridon Krasniqi yang kekal bersama Kedah sejak 2015 terus menjadi perancang utama pasukannya musim ini.

Bagi penulis, pendekatan Kedah dalam membentuk skuad ampuh wajar dicontohi pasukan lain.

Ia juga membuktikan, kaedah berbelanja besar dengan mengambil pemain-pemain nama besar bukan satu-satunya cara membentuk skuad yang ampuh.

Kini, cabarannya bagi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), memastikan pasukan terus konsisten dan terus meningkat pada musim depan.

KFA juga perlu memastikan, penolong jurulatih seperti Nidzam Adzha Yusof juga akan bersedia menggantikan Cheng Hoe apabila tiba masanya.

Ia kerana, penulis optimis pucuk pimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal dipilih pada kongres pemilihan persatuan itu bulan depan pasti akan membuka pintu buat Cheng Hoe sebagai pengendali skuad senior negara dalam masa beberapa tahun lagi.

Barisan Kedah kini boleh dikatakan mirip skuad musim 2006/2007 dan 2007/2008 bimbingan Azraai Khoor Abdullah yang meraih kejuaraan treble Liga M.

Advertisement

Must Watch Video