Skip to main content

Rencana

Kedah tetap juara walaupun diselubungi kontroversi

kedah-fa-juara.jpg

Kerjasama berpasukan, kekuatan mental, kepantasan berfikir, komunikasi dan kekuatan fizikal menjadi intipati kejayaan pasukan Kedah ketika menjulang Piala Malaysia 2016.

Walaupun dibelenggu kontroversi yang diwujudkan oleh lembaga disiplin badan induk bola sepak negara beberapa hari sebelum sepak mula final berhubung dengan pemotongan tiga mata setelah menurunkan pemain yang digantung permainan di atas kesilapan pengurusan pasukan dan ketidakadilan daripada keputusan yang melanggar statut pertandingan oleh lembaga disiplin badan induk bola sepak negara, Kedah tetap cekal.

Namun, itu tidak menjadi masalah kepada Tan Cheng Hoe dalam memburu impian peminat Kedah, di mana beliau berjaya mengawal emosi pemain-pemain dalam mempersiapkan diri ketika berhadapan dengan juara bertahan, Selangor. Kita dapat lihat setelah wisel dibunyikan, pemain-pemain Kedah terus menunjukkan kesugguhan dan memberi tekanan kepada lawan.

Setiap penjuru padang sentiasa dipenuhi pemain-pemain Kedah dengan bergerak secara berpasukan bagi memastikan setiap gerakan atau bertahan mampu memberi hasil kepada mereka.

Dengan corak permainan yang pantas di mana memerlukan kekuatan fizikal serta ketahanan stamina berjaya membawa kepada pergerakan pantas (kesegeraan) mengikut falsafah menyerang dengan pergerakan secara tersusun itu memberi kekuatan kepada Kedah.

Inilah sikap yang perlu diteladani oleh pemain-pemain muda dalam saingan Liga Malaysia atau di peringkat akar umbi.

Bukan mudah untuk seseorang pemain itu mengekalkan konsentrasi di atas padang sekiranya tidak mempunyai pengalaman selain kerjasama berpasukan yang dipamerkan. Kejayaan Tan Cheng Hoe mengurus pasukan Kedah ini dengan baik dan akhirnya membawa kejayaan kepada Kedah kali ini.

Bagi pengurusan Kedah pula perlu bijak menangani atau mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan keharmonian di dalam pasukan, selain itu perlu juga bijak menyusun strategi bagaimana untuk menyediakan dana untuk menjaga kebajikan pemain, terutama dalam isu bonus sebelum ini.

Pengurusan Kedah juga perlu belajar daripada semangat juang yang dipamerkan oleh jurulatih dan pemain-pemain Kedah dalam memburu impian mereka untuk menjulang Piala Malaysia 2016.

Sementara kepada peminat-peminat Kedah, teruslah berdiri di belakang pasukan Kedah, tidak kira dalam apa jua sekali pun kerana dengan sorakan yang sentiasa memenuhkan ruang stadium itu akan meningkatkan semangat dan moral pemain. Sekalung Tahniah kepada pasukan Kedah kerana menunjukkan kualiti yang sebenar ketika menjulang Piala Malaysia 2016.

Advertisement

Must Watch Video