Skip to main content

Rencana

'Karate Kid' - Diari Sukan 2019 Shahrazad Sani

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

prem.jpg
Karate Kid adalah filem Hollywood yang dipopularkan oleh lakonan Ralph Macchio dan mendiang Pat Morita pada era 80an.

Karya yang melambangkan semangat juang tinggi seorang individu disebalik apa jua situasi untuk unggul pada penghujungnya.

Malaysia pada saya mempunyai Karate Kid itu dan namanya S.Prem Kumar, pemenang pingat Emas Sukan SEA Filipina 2019.

Prem menyumbangkan emas pertama daripada empat keseluruhan yang dituai skuad karate negara di Filipina.

Prem beraksi dalam acara bawah 55 kilogram, kategori yang sinonim dengan 'otai' karate Malaysia, R.Puvaneswaran.

Puvaneswaran berupaya mendominasi kelas itu sehingga muncul pemenang pingat emas Sukan Asia dalam edisi 2002 dan 2010.

Terus-terang, sebelum Sukan SEA 2019, saya tidak pernah berkesempatan membuat liputan ke atas perkembangan Prem.

Tetapi saya dikhabarkan oleh rakan wartawan Nadi Arena yang lain untuk menjangkakan sesuatu yang menakjubkan daripadanya.

Sejumlah lima perlawanan dilalui Prem untuk layak ke pentas perebutan pingat emas menentang wakil Filipina, Norman Montalvo, pada tanggal 7 Disember 2019.

Disebalik gemuruh penyokong tuan rumah untuk Montalvo dan herdikan psikologi dilemparkan ke arah Prem, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini kekal tenang.

Dia menang dengan keputusan 6-1 tetapi apa yang membuatkan saya tersentuh mengangkat dia sebagai bintang masa depan Malaysia dalam sukan ini adalah kerana kata-kata yang terbit daripada bibir Prem selepas pertembungan final itu.

"Dua tahun lalu, Filipina rampas emas saya di rumah saya sendiri, sekarang saya rampas emas di rumah mereka."

Tidak ada unsur bongkak tetapi keikhlasan untuk menebus kehampaan terkulai dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kepada lawan dari Filipina yang memaksa dia untuk berpuas hati dengan pingat gangsa.

Selain ikhlas, saya nampak keistimewaan seorang atlet yang memiliki semangat juang luar biasa persis 'The Karate Kid'.

Wira datang dan pergi, dan Prem adalah penerus legasi mereka.

* Diari Sukan 2019 Shahrazad Sani adalah perkongsian peribadi terhadap kisah sukan kegemaran saya sepanjang tahun ini yang akan saya singkap sehingga tanggal 31 Disember.

Advertisement

Must Watch Video