RENCANA
Kandas di China, hidung retak bayaran untuk pertahan gelaran Johor Jewels
Begitulah liku-liku perjalanan yang harus saya lalui sebelum membantu pasukan Johor Jewels menjulang kejuaraan Netball Super League (NSL) 2023 buat kali kedua baru-baru ini.
Nak dijadikan cerita, sebulan sebelum berlangsungnya NSL 2023, saya ditugaskan untuk ke bumi Hangzhou, China bagi membuat liputan Sukan Asia tetapi malangnya, selepas sudah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, pada hari terakhir yang sepatutnya saya pulang ke Malaysia, barulah saya menyedari yang passport saya hilang.
Bayangkan saja perasaan pada ketika itu melihat rakan yang lain ucapkan selamat tinggal di lapangan terbang selepas hampir 20 hari berada di negara orang. Usah kata panik, pelbagai perkara yang bermain main di fikiran; “habis aku macam mana?”, “berapa hari nak kena tinggal sini sorang-sorang?”, “NSL dah nak start!” antara kata hati yang timbul tetapi Fariha tetap Fariha, berilah apa situasi sekali pun, saya tetap jalani dengan fikiran yang positif.
Iklan
Nasib baik ada rakan yang boleh berbicara dalam bahasa Cina buat keputusan untuk menemani saya sepanjang proses untuk mendapatkan passport sementara. Jika tidak, saya pun tidak tahu apa yang akan terjadi.
Apa yang boleh saya kongsikan adalah, ia merupakan tiga hari yang paling panjang pernah saya lalui dan boleh dikatakan sebagai “a living hell”.
Bertubi tubi perkara yang datang, selepas selesai satu masalah, satu masalah lain pula yang timbul sehinggakan pada satu ketika saya hampir mengangkat bendera putih! Bayangkanlah terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain, merantau ke daerah lain di China, keluar masuk balai polis dan agensi, senang cerita hidup seperti seorang 'refugee'.

Akhirnya, dengan bantuan pihak dari dalam dan luar negara, saya dapat juga pelepasan untuk pulang ke tanah air selepas berjaya dapatkan perakuan cemas dan beberapa dokumen di bandar Shanghai. Terus teringat dengan kata pepatah “hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri.” Sudah terkena di batang hidung sendiri barulah faham sebenar erti kata pepatah itu!
Tutup cerita di China, sampai saja di Malaysia saya terus kena persiapkan diri dan segala keperluan untuk beraksi di NSL. Tiada istilah rehat kerana sudah ketinggalan terlalu banyak, mujur saya sempat pulang sebelum aksi pembukaan bertemu finalis 2022, KL Wildcats, yang mempunyai dua pemain import berpengalaman dari Uganda.
Ingatkan semuanya bakal berjalan lancar sehingga ke peringkat akhir tetapi sekali lagi nasib tidak menyebelahi saya apabila sehari sebelum aksi final ketika bertemu Perak Phoenix, ada satu insiden yang berlaku menyebabkan pendarahan di bahagian hidung.
.jpeg)
Saya terpaksa dikeluarkan buat seketika untuk menghentikan pendarahan. Pada ketika itu, tiada apa yang bermain di fikiran selain ingin kembali beraksi.
Perkara pertama yang saya katakan kepada jurulatih, Tracey robinson, adalah “If I can play, I wanna go back in Tracey,” tetapi dengan tenang Tracey menjawab “just relax girl, if they are doing good, I will not put you on."
Redha dengan apa yang bakal terjadi, selang beberapa minit kemudian Tracey pandang ke arah saya, “Go warm up Haa.” Fuh, terus senyum lebar dibuatnya!

Berbekalkan ‘taping’ di hidung, saya masuk ke gelanggang tanpa fikirkan apa apa dan hanya bermain seperti biasa.
60 minit berlalu tanpa sedar, tiba tiba wisel dibunyikan dan kami berjaya tewaskan Phoenix untuk ke final. Mujur tiada pendarahan berterusan yang berlaku selepas itu, jadinya tiada masalah untuk memberikan sepenuhnya ketika perlawanan akhir.
Bertemu KL Wildcats di final sekali lagi merupakan antara perlawanan yang paling sengit buat saya di NSL sepanjang tiga musim ini tetapi dengan semangat juang dan pengalaman yang ada dalam setiap pemain Jewels, kami berjaya menjadi satu-satunya pasukan yang mempertahankan kejuaraan NSL dengan keputusan akhir 47-43.
Lebih manis lagi, saya juga dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) dalam kedua-dua perlawanan ini.
Tiada apa yang boleh diungkapkan selain rasa syukur dan lega apabila semuanya sudah selesai. Benar lah kata pepatah “everything happens for a reason.” Semua yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.
Must-Watch Video