Latihan dan usaha tanpa jemu, disiplin serta usaha jurulatih selain sokongan moral dan fizikal daripada pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang atlit dalam bidang sukan masing-masing namun ada medium lain yang turut membantu kejayaan atlit paralimpik negara khususnya di Rio 2016.
Percaya atau tidak, kejayaan atlit paralimpik negara di Sukan Paralimpik Rio yang baru melabuhkan tirai pada 18 September lalu miliki cogankata yang begitu serasi dengan semangat mereka.
#KAMILUARBIASA memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat atlit paralimpik sehinggakan bukan satu atau dua emas yang berjaya dipastikan mereka sebaliknya tiga emas dan satu gangsa berjaya dibawa pulang di mana semua perlu tahu pencapaian ini mengatasi sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sendiri.
Bagi membuktikan #KAMILUARBIASA itu benar-benar melambangkan diri mereka, bukan setakat kilauan pingat emas yang dijelmakan Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi, Latif Romly dan gangsa dari Siti Noor Radiah Ismail, mereka juga mengangkat martabat diri mereka dengan mencipta sejarah menerusi rekod dunia, rekod asia dan rekod kejohanan. Mereka benar-benar luar biasa.
Seperti Ziyad, anak jati Gombak ini tidak perlu menghabiskan balingan keenamnya kerana balingan kelima Ziyad sudah cukup untuk meletakkannya sebagai yang terbaik di Paralimpik dunia menerusi balingan sejauh 16.84 meter sekaligus berjaya memecahkan rekod dunia paralimpik miliknya sendiri yang dilakukan pada balingan pertama sebelum itu.
" Jika saya meneruskan balingan keenam mungkin keterujaan saya ketika itu merosakkan balingan terakhir saya. Saya mahu ia berakhir dengan catatan yang cukup manis." Itu reaksi Ziyad selepas ditanya mengapa balingan keenam tidak disudahkannya.
Luar biasa juga dari Latif Romly yang sumbang emas lompat jauh klasifikasi F20.
Dia sememangnya harapan utama emas negara, tetapi luar biasa dari Latif hadir apabila berjaya catat 3 rekod dunia menerusi 3 lompatan dan 7.60meter cukup untuk menobatkan Latif sebagai pemegang rekod dunia paralimpik.
7.60meter tidak pernah terlintas dalam fikiran Latif sendiri dan jurulatihnya Shahrul Amri Suhaimi sendiri tidak menyangka, Latif mampu melakukan lompatan sejauh itu.
" 7.60meter tidak pernah berada dalam perbincangan kami (dengan Latif)." Itu reaksi Shahrul Amri sebaik sahaja Latif dikalungkan emas ketiga negara di podium Stadium Olimpik ketika umat islam di Malaysia sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidil Adha.
Tidak ketinggalan dua atlit wanita negara yang turut membawa nama Malaysia di bumi Rio.
Kilauan gangsa bagi acara lompat jauh wanita F20 dari Siti Noor Radiah Ismail turut membawa maksud anak jati Johor ini juga berjaya membuat rekod baru peringkat para Asia dan tidak ketinggalan, insiden yang menimpa Siti Iasah Mohd Ariffin tidak sesekali menafikan ibu muda ini adalah yang terpantas di peringkat para Asia bagi acara 400meter wanita F20.
Kejayaan tambahan ini tidak lengkap tanpa nama Ridzuan Puzi.
Dengan keletahnya yang berjaya mencairkan hati ribuan penyokong pelbagai negara yang hadir di Stadium Olimpik, Ridzuan tidak terlepas dengan mencatat rekod kejohanan menerusi larian emasnya yang turut menyentuh perasaan rakyat Malaysia apabila emas pertama Paralimpik negara hadir menerusi atlit yang memiliki masalah kekejangan otot atau lebih dikenali sebagai Cerebral Palsy ini.
Tidak keterlaluan menerusi #KAMILUARBIASA ini lah sebenarnya yang menyuntik semangat atlit paralimpik negara bahawa mereka bukan lagi pilihan kedua untuk dijulang.
Jika #KAMILUARBIASA ini turut digunapakai buat atlit normal, mungkin suntikan semangat lebih ketara kerana atlit paralimpik bukan sekadar ikon di kalangan mereka malahan mereka ikon negara yang perlu dicontohi setiap rakyat Malaysia.
YB KJ mungkin ada jawapan ?