Rasanya belum terlambat lagi penulis mengucapkan selamat tahun baru kepada semua.
Lembaran 2017 terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun setiap insan. Ramai yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru. Bagi pemain bola sepak tempatan, mereka sudah pasti mahu tampil dengan semangat baru untuk meletakkan diri masing-masing ke tahap tertinggi.
Tidak terkecuali Safee Sali yang melalui detik pasang surut dalam kariernya selepas 'meletup' di pentas antarabangsa pada 2010.
Siapa tidak kenal Safee yang dahulu, kelibatnya sentiasa digeruni lawan. Namun, selepas berhijrah dari sebuah kelab Indonesia ke Johor Darul Takzim, Safee berdepan persaingan hebat untuk berada dalam kesebelasan utama sekali gus membataskan aksinya di atas padang.
Jika statistik jaringan diambil kira, prestasi Safee agak menurun dari tahun ke tahun tetapi semangat pemain kelahiran Kajang, Selangor ini tidak pernah luntur. Ia dibuktikan menerusi komitmen tingginya setiap kali diberi peluang beraksi di atas padang.
Kerana itu, kelibat Safee tetap ditagih di pentas antarabangsa apabila dipilih untuk mewakili skuad negara bimbingan Dollah Salleh ketika Piala Suzuki AFF 2014 dan skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika Piala Suzuki AFF 2016.
Pada Isnin, 2 Januari 2017, Safee sah menyertai PKNS FC selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab ini di Kompleks Sukan PKNS, maka bermulalah episod baru penyerang yang sinonim dengan jersi nombor 10 ini.
Meskipun bukan kembali ke pangkuan Selangor, Safee tetap kembali ke bumi Selangor dengan menyarung jersi PKNS, bekas pasukan legenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari.
Sememangnya ia pilihan tepat buat Safee untuk membuat 'come back' atau mengembalikan semula prestasi sebenarnya kerana peluang dia untuk beraksi bersama pasukan ini tampak lebih seimbang.
Selamat maju jaya buat Safee, kami mahu Safee yang dahulu!