Skip to main content

Rencana

"Kami gila kerja"

iceland-101017.jpg
"Kami gila kerja," itu jawapan ringkas Heimir Hallgrimsson ketika ditanya tentang resepi kejayaan pasukan bimbingannya, Iceland, melakar sejarah mara ke Piala Dunia buat kali pertama.

Mungkin kedengaran klise, tetapi itulah hakikat yang tertanam dalam diri setiap warga Iceland, negara kecil dengan populasi 335, 000 penduduk yang sudah biasa menjadi minoriti dalam apa jua bidang yang diceburi.

Bola sepak menjadi sebahagian daripada teras masyarakat Iceland yang mendapat pengaruh daripada sukan popular Eropah ini.

Pun begitu, permohonan Iceland untuk menyertai kelayakan Euro 1956 ditolak. Berkat kesungguhan, Iceland akhirnya berjaya menyertai kejohanan utama menerusi kelayakan Piala Dunia 1958 tapi mereka tamat selaku tercorot kumpulan.

Masa nampaknya menjadi penyembuh duka paling berkesan buat Iceland. Kebangkitan Iceland sangat dirasai menginjak zaman milenium.

Tajuk utama berita 9 Oktober 2017 yang menyatakan Iceland negara terkecil mara ke Piala Dunia sepatutnya sudah disiarkan tiga tahun lalu. Lihat sahaja bagaimana Croatia yang tamat di kedudukan kedua kumpulan, kali ini pula terpaksa menanti tuah. 

Kemuncak tumpuan Iceland pada era bola sepak moden sudah pasti di pentas Euro 2016. Mana mungkin kita lupakan momen di mana pasukan gergasi England yang tersungkur malu di kaki barisan pemain yang memiliki son/ sen di hujung nama mereka.

Kredibiliti dan corak permainan bersih paling dikagumi ramai, dengan rata-rata pengikut bola sepak Eropah sendiri memilih Iceland selaku pasukan kedua, selepas negara kelahiran mereka.

Apa yang jelas, kemaraan ke Piala Dunia bukan penamat kerja keras yang makan puluhan tahun ini. Iceland menganggap ini hanyalah permulaan kepada perjuangan sebenar mereka.

Sebagai peminat setia kejohanan bola sepak berprestij, saya tidak sabar menanti kemunculan Iceland di Rusia tahun hadapan.

Begitu juga semangat kesukanan yang mereka bawa menerusi pemain ke-12 dengan sorakan istimewa "the viking war chant" seperti yang tular di Perancis dua tahun lalu.

Tahniah Iceland!

Advertisement

Must Watch Video