Tinggal kurang dari 12 jam, satu lagi sejarah sukan Malaysia bakal terlakar di bumi kenyalang bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasminya.
Beberapa acara telah pun dipertandingkan bermula Selasa lalu, melibatkan beberapa kutipan pingat dan sukan Taekwondo sudahpun melabuhkan tirainya pada Jumaat.
Apa yang unik untuk penganjuran SUKMA kali ini adalah beberapa peraturan baru yang disediakan pihak tuan rumah, di mana tidak pernah dilakukan dalam mana-mana penganjuran SUKMA sebelum ini.
Petugas media dilarang sama sekali memakai 'seluar jeans' menjadi topik perbincangan hangat di kalangan media tatkala arahan itu dikeluarkan sehari sebelum saingan bermula.
Ada yang sinis, ada yang mempersoalkan arahan itu dengan merujuk beberapa penganjuran kejohanan dan temasya di peringkat antarabangsa sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan sebegitu.
" Jika betul mahukan 'dresscode' seperti ini, kenapa tidak di warwarkan dari awal lagi?" ada yang merungut.
Penulis mahu memuji arahan 'tiada asap rokok' di perkampungan sukan yang turut dijadikan sebagai arahan keras.
Bukan sekadar arahan, kelibat pegawai kesihatan yang berkeliaran di sekitar perkampungan sukan dan venue cetus gusar kepada mana-mana perokok yang ingin memetik api rokok di zon bebas rokok.
Denda 10 ribu ringgit Malaysia menanti atau penjara 2 tahun merupakan hukuman yang telah ditetapkan andai tertangkap namun setakat ini masih belum ada sebarang rekod atau penangkapan dibuat.
Penulis yakin tuan rumah miliki alasan kukuh untuk menetapkan arahan dan larangan demi kelangsungan penganjuran SUKMA yang akan membuka tirai rasminya pada Sabtu.
Buat tuan rumah Sarawak, Astro Arena sedia memberikan laporan dan liputan terbaik sepanjang penganjuran berlangsung.