Skip to main content

Rencana

Kali terakhir Leeds United di EPL, Arsenal adalah juara liga!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

leeds-utd.jpg
16 tahun! Itulah masa yang diperlukan oleh Leeds United untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris dan itulah kali terakhir Arsenal muncul sebagai juara liga.

Bukan nak cerita Arsenal disini, tapi penulis nak kembalikan momen-momen jatuh bangun Leeds United yang dulunya merupakan kelab gergasi di England!

Zaman kegemilangan




Leeds merupakan juara tiga kali liga divisyen pertama, dengan kejuaraan ketiga mereka pada tahun 1992 menjadikan mereka pasukan terakhir yang muncul juara sebelum kejohanan ditukar kepada Liga Perdana sehingga ke hari ini.

Mereka juga pernah layak ke final Piala Eropah pada 1975 sebelum tewas kepada Bayern Munich.

Semasa dibawah kendalian David O'Leary, mereka sentiasa menamatkan saingan dalam di kelompok lima teratas.

Pada 2000, Leeds berada di separuh akhir Piala UEFA dan turut berada di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim berikutnya sebelum tewas 3-0 secara agregat kepada Valencia.


Zaman kejatuhan

Pada awal 2000-2003, pemilik kelab ketika itu Peter Ridsdale melakukan pinjaman hampir £60 juta dengan harapan Leeds menjadi antara kelab tetap yang layak ke saingan Eropah.

Mereka turut berbelanja mewah membeli pemain dan menawarkan gaji tinggi sehingga memakan diri.

Titik permulaan kejatuhan memperlihatkan mereka terpaksa menjual Rio Ferdinand yang merupakan pemain utama ke Manchester Utd pada 2000 dengan rekod British ketika itu, £30 juta.

Mereka juga gagal layak ke Eropah pada musim 2002/03 dan akhirnya tersingkir dari Liga Perdana pada musim seterusnya.

Pemain terpaksa dijual & dilepaskan sehingga pada satu ketika mereka menanggung hutang hampir £119 juta.

Mereka juga terpaksa menjual stadium Elland Road pada 2004 yang merupakan stadium rasmi pasukan.

2007 merupakan tahun paling buruk – diisytiharkan muflis yang mana mereka tidak mampu lagi membayar hutang sekaligus dipotong 10 mata dan tersingkir ke liga divisyen ketiga.




Mereka juga terpaksa bermula musim berikutnya dengan potongan 15 mata! Bayangkan memulakan liga divisyen ketiga dengan -15 mata.

Pada 2008 mereka pernah kalah kepada kelab kampung Histon dalam Piala FA, hasil jaringan Matthew Langston yang bekerja sebagai posmen.

Namun, pada 2010, mereka akhirnya berjaya naik semua ke Liga Kejuaraan, divisyen kedua selepas Liga Perdana.

Era Massimo Cellino

Semenjak 2010, mereka cuba layak kembali ke Liga Perdana tetapi tidak berhasil.

Pada tahun 2014, Massimo Cellino masuk untuk menjadi pemegang syer terbanyak kelab seterusnya menjadi pemilik Leeds United.

Beberapa keputusannya menimbulkan kontroversi malah dibenci sebahagian besar penyokong Leeds.

Dia pernah melantik jurulatih yang datang dari liga amatur, Dave Hockaday sebelum bertahan selama 70 hari sahaja.

Dia juga mempunyai kepercayaan karut dengan melabel nombor 17 sebagai nombor malang. Pemain utama Leeds ketika itu, Paddy Kenny diketepikan atas arahannya hanya kerana tarikh lahirnya pada 17 Mei!

Dia juga melarang para pemain dari memakai jersi 17 dalam pasukan Leeds ketika itu!

 
Era Andrea Radrizzani

Ingatkan hujan hingga ke petang, rupanya panas di tengah hari.

Nyata pertukaran pemilik kepada Radrizzani menjadi titik tolak kepada kebangkitan Leeds.

Antara perkara dilakukannya ialah membeli kembali Elland Road pada 2017.

Dia juga mengambil langkah berani dengan mengambil Marcelo Bielsa sebagai jurulatih, yang menjadikan ‘El Roco’ jurulatih paling mahal dibayar dalam sejarah kelab.

Bielsa dikenali dengan ketelitian dalam setiap perkara, dan itu yang dilakukannya ketika membawa Leeds.

Bayangkan, pasukan kejurulatihannya pernah menyediakan laporan 8 muka surat mengenai penjaga gol ketiga pasukan bawahan yang akan ditentang, walaupun pemain itu belum melakukan sebarang penampilan sekalipun!

Malah, semasa perintah berkurung dilaksanakan di UK, dia menghabiskan masa 19 jam menganalisis video pemain akademi berusia 20 tahun, Alfie McCalmont demi mengeluarkan potensi sebenarnya.

Dan hasilnya, dia berjaya membawa Leeds muncul juara Liga dan naik semula ke Liga Perdana Inggeris musim depan.

Leeds dijangka menerima keuntungan £140 juta pada musim pertama di EPL,ditambah duit penyiaran sekitar £12.3 juta untuk 10 perlawanan yang disiarkan secara langsung; serta tambahan  £1 juta untuk setiap perlawanan seterusnya.

‘Doing a Leeds’ kini menjadi legenda, dan harapnya pisang tidak berbuah 2 kali lah.

Semoga berjaya Leeds United! 

Advertisement

Must Watch Video