Skip to main content

Rencana

Kalau pemain-pemain ni atas padang, ade bran nak main???

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

roy-keane-manchester-united-patrick-vieira-arsenal.jpg
Kalau namanya peminat bola sepak sejati, korang mesti dapat kenal pasti beberapa pemain bola sepak yang memang sangat-sangat agresif di atas padang.

Kalau di Malaysia, penulis paling mengingati bagaimana 'ganas'nya bekas penjaga gol Kelantan, Halim Napi, yang acah-acah gangster pun ada seperti aksi Wan Zack yang bertelagah dengan Cesc Fabregas sewaktu Malaysia bertemu Barcelona dalam satu perlawanan persahabatan pada 2013.

Di peringkat antarabangsa, ada banyak pemain yang beraksi dengan amat agresif, namun ada beberapa pemain yang penulis melihat sendiri bagaimana cantiknya seni 'keganasan' yang dipamerkan sehingga ianya benar-benar membantu persembahan pasukan.

Shawcross-Materazzi-Pepe

Tiga nama di atas adalah nama pemain pertahanan yang pasti akan menghadirkan mimpi ngeri bagi penyerang setiap pasukan. Bekas pemain akademi Manchester United, Ryan Shawcross pasti akan diingati peminat The Gunners selepas Shawcross mengakibatkan kaki Aaron Ramsey terkulai layu pada 2014. Namun tahun lalu, kaki Shawcross sendiri 'bengkok' selepas tersilap ketika melakukan bentesan.

Marco Materazzi, pemain yang 'ditanduk' oleh Zinedine Zidane pada final Piala Dunia 2006 cukup dikenali sebagai pertahanan kental yang mempunyai mulut bising. Fizikalnya yang sememangnya sudah menggerunkan menambah lagi rasa gerun lawan, kena dengan gelaran yang diberikan iaitu 'psycho' atau 'killer'. Materazzi ni kalau main, tak sah kalau tak berdarah!

Pepe, tidak perlu diperkenalkan lagi. Sepak, terajang, tumbuk dan menyiku pemain lawan di atas padang seolah-olah telah menjadi lumrah pemain kebangsaan Portugal ini.  Namun, selain dari karektor agresifnya, Pepe turut terkenal dengan aksi lakonan menjatuhkan badan bagi meraih simpati pengadil.


Gattuso-Barton-Keane

Ramai sebenarnya jeneral di tengah padang yang begitu agresif, tetapi penulis akhirnya memilih tiga nama yang penulis sendiri pernah lihat cara mereka bermain. Gennaro Gattuso, pendek yang bukan sebarang pendek, 'fighting spirit' yang dimiliki Gattuso cukup luar biasa. Setiap kali beraksi, penonton boleh merasakan Gattuso memberikan 200% kudrat seolah-olah nyawanya bergantung kepada setiap keputusan perlawanan. 

Joey Barton. Pemain yang terkenal kerana kenakalannya diluar dan di dalam padang. Pernah suatu ketika sewaktu beraksi menentang Machester City, beliau menumbuk Tevez, menendang Aguero dan bertelagah dengan Balotelli dalam masa kurang dua minit! Kini Barton masih kekal bising yang diterjemahkan di akaun twitternya.

Bekas kapten Manchester United, Roy Keane adalah musuh utama kapten Arsenal Patrick Viera sewaktu zaman mereka bermain. Sir Alex Ferguson menyatakan Keane lebih rela mati kelaparan dari menyaksikan pasukannya tewas, begitulah pemain yang memberikan seluruh jiwa dan raga di atas padang, malah karakternya itu turut membantu pasukan mendominasi perlawanan. 


Costa-Adriano-Zlatan

Diego Costa. "Muka macam 50 tahun, rupanya baru 24 tahun" itulah luahan spontan penulis bila melihat aksi Costa bersama Chelsea pada 2014. Tubuh sasa yang dimiliki sudah cukup membuat pemain pertahanan berasa gerun, tambahan pula aksi 'ganas'nya yang gemar melakukan provokasi didalam perlawanan. Sifat barannya turut memberikan kesan kepada keriernya yang kini semakin merudum selepas kembali ke Atletico Madrid.

Adriano. Penyerang berbadan gempal yang mempunyai sepakan bak peluru. Pemain berkualiti yang gagal mempertahankan kariernya selepas kematian bapanya. Tekanan perasaan, kecederaan selain tiada halatuju  hidup akhirnya menyaksikan pemain yang dikenali dengan gelaran ' The Emperor' itu kembali ke kampung halamannya menjalani kehidupan di "favela".

King Zlatan. Jika ditanya siapa paling menyerlah aura agresif, nama Zlatan Ibrahimovich pastinya ditangga pertama. Pergilah kemana sahaja, Belanda, Itali, Sepanyol ataupun Amerika Syarikat, beliau akan menjadi fenomena. Zlatan adalah contoh bagaimana pemain yang agresif dalam masa sama mampu bermain dengan cemerlang dan juga bijak berkata-kata. 

Tetapi percaya atau tidak, kesemua pemain agresif yang penulis sebutkan di atas, semuanya pernah mengalirkan air mata kekecewaan andai pasukan yang diwakili tewas. Gangster-gangster pun nangis tau!

Advertisement

Must Watch Video